AM > BERITA

Mechamato Musim 3 Tampil Adiwira Baharu 'Maskmana'

16/09/2024 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Siri animasi kebanggaan negara Mechamato kini kembali pada musim ketiga dengan penampilan adiwira baharu, Maskmana.

Bersempena Hari Malaysia hari ini, Mechamato Musim 3 akan ditayangkan serentak di lebih 30 negara Asia Pasifik termasuk Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand menerusi platform penstriman, Netflix dan saluran YouTube.

"Mechamato Musim 3 akan membawakan aksi lebih hebat dan pastinya akan mengujakan para penonton dengan gandingan luar biasa Mechamato bersama Maskmana baharu yang penuh misteri,” kata MONSTA dalam kenyataan hari ini.

Siri animasi itu juga bakal disiarkan di beberapa rangkaian televisyen di rantau Asia seperti Astro di Malaysia, RTV (Indonesia), MediaCorp (Singapura), Pops (Vietnam), TrueID (Thailand) dan Cartoon Network Asia.

Mechamato telah menjadi fenomena global dengan memperoleh pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa selain berada dalam kedudukan sohor kini dalam kalangan 10 teratas di Netflix, kata MONSTA.

MONSTA yang terkenal dengan penghasilan harta intelek (IP) watak-watak fiksyen popular seperti BoBoiBoy, Mechamato, Papa Pipi dan Fly With Yaya telah menembusi pasaran global di lebih 70 negara melalui platform siaran seperti Netflix, Cartoon Network, Disney dan Tencent Video.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan