AM > BERITA

Bijak Uruskan Masa Kunci Kepada Ibu Tunggal Besarkan Lapan Anak

16/09/2024 05:36 PM

IPOH, 16 Sept (Bernama) -- Bijak menguruskan masa merupakan kunci kepada Rohani Tandaik, 65, iaitu seorang ibu tunggal yang membesarkan lapan orang anaknya sehingga kesemua mereka berjaya memperolehi kelulusan tinggi dan bekerja dalam pelbagai bidang profesional.

Beliau yang kehilangan suami akibat kanser paru-paru ketika berusia 39 tahun itu berkata menjadi seorang ibu tunggal sudah pasti akan menempuh pelbagai cabaran dan kesukaran, terutamanya membesarkan ramai anak-anak.

“Cabaran pertama saya hadapi adalah sewaktu anak saya masih kecil lagi sebab ada yang masuk asrama, IPT (Institusi Pengajian Tinggi), dari segi untuk melawat anak, menguruskan macam-macam pendaftaran anak-anak. Jadi yang mencabar itu adalah pengurusan masa saya sendiri.

“Selain itu, sebagai seorang ibu tunggal dan penjawat awam, saya juga terlibat dengan masyarakat seperti di surau dan PUSPANITA (Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia), jadi memerlukan pengurusan masa yang betul,” katanya yang kini bekas penjawat awam kepada pemberita di sini hari ini.

Kejayaan Rohani dalam membesarkan anak-anaknya juga mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah, plak dan sijil penghargaan di Pusat Konvensyen Casuarina di sini hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan berangkat ke majlis itu berkenan menyampaikan anugerah berkenaan kepada Rohani serta anugerah lain kepada para penerima.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah. 

Sementara itu, Rohani berkata beliau tidak menafikan kekangan kewangan turut dirasai walaupun dia dan anaknya menikmati pencen daripada arwah suaminya yang bekerja sebagai pembantu kesihatan awam kanan sehingga perlu melakukan beberapa pekerjaan sampingan.

“Pahit getir membesarkan anak itu biasalah, saya sebagai ibu tunggal walaupun ada pendapatan tetap sebagai penjawat awam, tetapi memandangkan anak ramai dan keperluan yang agak besar, cabaran utama ialah kewangan.

“Jadi saya menambah pendapatan dengan membuat kerja sampingan lain antaranya mengambil upah menjahit dan membuat kuih raya demi membiayai persekolahan anak,” katanya.

Berkat kegigihan dan kesabaran Rohani, kesemua anaknya telah memiliki kelulusan tinggi daripada pelbagai IPT awam dan swasta dengan antaranya bekerja sebagai doktor, pegawai sukan, usahawan dan lain-lain.

Berkongsi resepi dan motivasi mendidik anak, Rohani yang berasal dari Tapah berkata beliau seringkali mengingatkan anak-anaknya tentang pesanan Allahyarham suaminya yang mahu melihat mereka berjaya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institusi Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTTAR) Roslan Ariffin turut menerima Anugerah Zaid bin Thabit iaitu Tokoh Pengamal Media serta membawa pulang hadiah RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) berkata anugerah berkenaan telah diperkenalkan tiga tahun lepas dan ia merupakan salah satu penghormatan kerajaan negeri kepada semua pengamal media.

“Alhamdulillah dan syukur kerana selama 34 tahun, ini adalah kemuncak dalam kerjaya saya kerana tidak termimpikan akan bergelar sebagai tokoh pengamal media.

"Saya bangga bukan bangga pada diri saya, sebaliknya bangga bagi pihak semua wartawan di Malaysia kerana kita telah menjadi mereka yang diiktiraf sebagai yang berjasa kepada negara dan masyarakat,” katanya.

Turut menerima anugerah ialah Dr Mohd Fahmi Abdul Khir, 50, (Tokoh Pendakwah); Agus Lokman Silam, 56, (Tokoh Imam); Mashudi Bakir, 62, (Tokoh Bilal) dan Mua’ai Ribut, 71, (Tokoh Siak), selain kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dianugerahkan kepada Persatuan India Muslim Perak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan