AM > BERITA

5,000 Beg Guna Semula Diagih Pada Sambutan Hari Malaysia 2024

16/09/2024 10:50 PM

KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) -- Kaunter Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KeKPAS) sempena sambutan Hari Malaysia 2024 di Padang Merdeka di sini hari ini, menjadi tumpuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang mendapatkan beg guna semula sebagai cenderahati.

Pemberian secara percuma beg itu sebahagian usaha KeKPAS untuk mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna di negara ini.

Meskipun sekadar beg guna semula sebagai cenderahati, pengunjung Sonia Abdul Majid, 36, berkata pemberian itu memudahkannya untuk membawa barangan selepas tiada lagi pemberian beg plastik di pasar raya di Sabah sejak 1 Ogos lepas.

"Saya tidak mengetahui ada pengagihan beg berkenaan kepada orang ramai dan hanya datang untuk menyaksikan Hari Malaysia bersama keluarga.

“Jadi, saya sangat gembira apabila dapat beg ini, senang dibawa kemana-mana. Kalau boleh bagi banyak-banyak pun lagi bagus," kata penduduk Putatan itu ketika ditemui Bernama.

Seorang lagi pengunjung DK Chong, 47, berkata dia hanya mengetahui pengagihan beg guna semula itu selepas melihat kaunter KeKPAS dikerumuni orang ramai.

“Sebagai pengguna, usaha ini sangat dialu-alukan untuk membantu orang ramai melatih mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya.

Radwan Tusin, 40, dari Papar pula berharap pemberian beg guna semula diperluas di kawasan luar bandar untuk mengurangkan penggunaan beg plastik yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

Jumaat lepas, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata sebanyak 5,000 beg guna semula akan diagihkan kepada orang ramai sempena sambutan Hari Malaysia 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan