AM > BERITA

Tiga Sungai Di Kedah Lepasi Paras Bahaya

16/09/2024 11:44 PM

ALOR SETAR, 16 Sept (Bernama) -- Tiga sungai di negeri ini direkodkan melepasi paras bahaya dengan trend menaik setakat 10 malam ini.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu mencatatkan 22.15 meter melepasi paras bahaya 21.6 meter.

Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap merekodkan 28.68 meter melepasi paras bahaya 28.5 meter manakala Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan mencatatkan 3.95 meter melebihi paras bahaya 3.5 meter.

Beberapa sungai lagi berada pada paras amaran dan waspada dengan trend menaik antaranya Sungai Janing dan Sungai Perik di Padang Terap, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Bata di Kubang Pasu.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata hujan lebat sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu mengalami banjir kilat, namun bilangan rumah terjejas masih dibanci.

Beliau berkata anggota APM Kubang Pasu sedang memantau Jalan Asun-Jitra yang dinaiki air sejak 3.55 petang tadi hingga menjejaskan aliran trafik.

“Anggota APM di lapangan masih membuat pemantauan dan bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian. Tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik Lt (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata hujan sekejap-sekejap bermula awal pagi di daerah itu menyebabkan banyak pokok tumbang.

Beliau berkata pihaknya juga sedang memantau paras air sungai utama di Sik khususnya Sungai Chepir yang mencecah paras waspada.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan