AM > BERITA

Banjir: 53 Penduduk Dipindahkan Ke PPS Di Kubang Pasu

17/09/2024 10:56 AM

ALOR SETAR, 17 Sept (Bernama) -- Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kubang Pasu bagi menempatkan 53 mangsa terdiri daripada 15 keluarga yang terjejas banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata PPS Sekolah Kebangsaan Malau, dekat Jitra dibuka pada 9.16 malam tadi.

“Lokasi banjir adalah di Mukim Malau melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Padang Panjang, Kampung Sampang dan Kampung Lubuk Ipoh.

“Anggota Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih membuat pemantauan di kawasan terjejas dan menasihatkan penduduk untuk berpindah ke PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata banjir di kawasan berkenaan berlaku disebabkan hujan lebat sejak pagi hingga petang semalam menyebabkan kawasan rendah dinaiki air.

Sementara itu, paras air di tiga sungai di Kedah melepasi paras bahaya dengan trend menaik setakat 9.30 pagi ini termasuk Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu yang mencatatkan bacaan 22.80 meter (m) melepasi paras bahaya 21.6m.

Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Alor Setar pula mencatatkan bacaan 2.65m melepasi paras bahaya 2.60m dan Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan mencatatkan bacaan 3.81m melepasi paras bahaya 3.50m

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan