AM > BERITA

JAS Ambil Sampel Sungai Sekah, Loji Kumbahan Disyaki Tercemar

17/09/2024 02:39 PM

SEREMBAN, 17 Sept (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil sampel air di Sungai Sekah dan sebuah loji sisa kumbahan selepas disyaki menyebabkan pencemaran sungai di Nilai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan S. Veerapan berkata pihaknya menerima aduan mengenai keadaan sungai yang berbau dan berwarna hitam pada 8 Sept lepas.

"Saya dimaklumkan bahawa siasatan awal mendapati keadaan sungai telah lama berwarna hitam dan berbau.

“Berikutan itu dua sampel diambil iaitu satu botol plastik berisipadu satu liter untuk analisis BOD5 dan Nitrate manakala sampel kedua juga isipadu sama bagi analisis COD dan Ammoniacal Nitrogen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Veerapan berkata pasukan Badan Kawal Selia Air (BKSA) turut mendapat maklumat mengenai sebuah loji disyaki  mengeluarkan sisa kumbahan yang kemungkinan menjadi punca pencemaran berkenaan.

“JAS telah memasuki loji rawatan kumbahan SEN 416 pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari bersama wakil Indah Water Consortium (IWK). 

“Menerusi siasatan ini, dua sampel diambil di takat pelepasan akhir loji berkenaan untuk tujuan pemantauan iaitu satu botol plastik satu liter untuk analisis BOD5 dan Nitrate, manakala sampel kedua ialah sebotol plastik satu liter untuk analisais COD dan Ammoniacal Nitrogen,” katanya menambah kesemua sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia pada 10 Sept lepas untuk pengesahan serta tindakan selanjutnya.

Beliau berkata JAS mengarahkan pihak IWK melakukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Menurutnya, semua pihak bertanggungjawab menjaga kelestarian alam termasuk kualiti sungai yang merupakan punca perkhidmatan air, dan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak didapati bersalah atau melanggar pematuhan ditetapkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan