AM > BERITA

24 Mangsa Terperangkap Banjir Di Bukit Kayu Hitam Diselamatkan

17/09/2024 04:46 PM

ALOR SETAR, 17 Sept (Bernama) -- Sebanyak 24 mangsa termasuk tiga kanak-kanak yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Kubang Kayu, Bukit Kayu Hitam, pagi tadi berjaya diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam Zulkifli Manaf berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.51 pagi.

“Pasukan bomba dari BBP Bukit Kayu Hitam telah digerakkan dan setibanya di lokasi terdapat 24 mangsa yang terperangkap terdiri daripada 21 dewasa dan tiga kanak-kanak.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh bomba dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan di lokasi paras air sedang menurun dan kerja-kerja pemantauan diteruskan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap.

Dalam satu lagi kejadian, 13 mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Paya Tok Betok, Kulim turut diselamatkan 8 pagi tadi.

Ketua BBP Kulim Hamizul Azwan Hamdan berkata setibanya di lokasi didapati 11 mangsa termasuk dua orang kurang supaya (OKU) yang lumpuh telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

"Semasa kerja pemantauan dilakukan, bomba menerima maklumat bahawa terdapat dua lagi mangsa OKU penglihatan yang terperangkap dan sedang diselamatkan.

"Sementara itu, tiga lagi kawasan iaitu Lorong Temenggong, Taman Anggerik dan Kampung Padang Tembak turut mengalami banjir namun tidak melibatkan mangsa terperangkap. Kerja pemantauan masih dijalankan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua BBP Jitra Mohd Bustan Karudin berkata seorang wanita warga emas yang berusia 80 tahun turut terperangkap banjir di Kampung Kota Mengkuang dan telah dipindahkan ke PPS selepas rumahnya dinaiki air.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan