AM > BERITA

Banjir: Cuti Pegawai, Anggota Bomba Kedah Dibeku

17/09/2024 07:18 PM

JITRA, 17 Sept (Bernama) -- Cuti hampir 800 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dibekukan berkuat kuasa hari ini susulan situasi banjir di negeri ini.

Pengarah JBPM Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata langkah itu sebagai persediaan menghadapi bencana itu yang diramal buruk dalam beberapa hari.

"Selain itu, kita juga arahkan balai bomba berdekatan dengan sungai yang besar di Kedah ini iaitu Sungai Bata dan Kota Setar supaya siap siaga.

"Kalau ada rumah-rumah yang berdekatan dengan sungai, kita minta supaya lakukan persiapan awal kalau perlu berpindah, pindahlah sebelum berlaku perkara tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Malau di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) turut meramalkan berlaku fenomena air pasang besar dalam tempoh terdekat, sekali gus boleh menyebabkan banjir di kawasan berhampiran pantai.

Awang Hidzel turut menasihati orang ramai supaya menangguhkan sementara hasrat untuk bercuti atau melakukan aktiviti rekreasi di pantai atau sungai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Setakat 5 petang ini, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 675 orang terdiri daripada 159 keluarga dari Kubang Pasu, Pendang, Kulim dan Pokok Sena yang dipindahkan ke sembilan PPS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan