AM > BERITA

LKIM Bantu 129 Anak Nelayan Sambung Pengajian Di IPTA Setakat Ini

17/09/2024 08:41 PM

PASIR PUTEH, 17 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntuk RM61,600 bagi membantu 129 anak nelayan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Pengerusi LKIM Faiz Fadzil berkata daripada jumlah itu, 89 orang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah, 38 (diploma) dan dua (sijil) dengan bantuan daripada Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem).

“Kita tahu rata-rata nelayan ini terdiri daripada golongan B40, jadi kebajikan mereka bukan sahaja terhadap ekonomi tetapi pendidikan anak-anak harus dilihat kerana ia sangat penting dan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai RM2,000 kepada Wan Nur' Alyaa Syaza Awang di Kampung Air Tawar hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Nur' Alyaa Syaza yang juga anak seorang nelayan terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang kerana masalah kewangan.

Faiz berkata Wan Nur' Alyaa Syaza yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.92 terpaksa menangguhkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sastera di universiti itu namun pihaknya akan terus membantu beliau mendapatkan pendidikan yang sempurna.

“Apabila ada peluang untuk menyambung pengajian, kita akan bantu kerana bukan semua anak nelayan mempunyai peluang untuk memasuki universiti dan jika melihat rekod yang kita ada setakat ini, sebanyak 10 peratus anak nelayan tercicir dalam pendidikan.

“Kita mahu membina generasi baharu dan melahirkan anak-anak nelayan yang mempunyai ilmu tinggi serta memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang seiring dengan pemodenan teknologi terkini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan