AM > BERITA

Agrobank Perkenal Program Akuakultur Untuk Pelajar

17/09/2024 08:58 PM

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Agrobank menyasarkan penyertaan 100 pelajar neurodiversiti dari seluruh negara pada Program Agrobank Aquaculture Aspire dalam usaha memupuk bakat muda dalam bidang akuakultur.

Program dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) itu melibatkan 10 sekolah yang akan menawarkan Program Vokasional Menengah Atas (PMVA) Akuakultur dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata peruntukan sebanyak RM110,000 disediakan bagi menjayakan program berkonsepkan pendidikan akuakultur itu.

"Agrobank berkolaborasi dengan syarikat pengeluar benih ikan air tawar tempatan, ARC Berkat Agro Food Sdn Bhd (ARC) bagi membekalkan benih ikan keli dan tilapia kepada sekolah yang terlibat," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran program tersebut di Serdang, dekat sini hari ini.

Justeru, beliau berkata setiap sekolah akan dibekalkan dengan set teknoloji bioflok dengan bimbingan teknikal dan latihan disediakan oleh syarikat pembekal.

Beliau berkata inisiatif itu dianjurkan sejajar dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dan bertujuan mempersiapkan generasi muda sebagai pelapis dalam mendepani cabaran industri agro dan pemangkin keterjaminan makanan negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan