AM > BERITA

Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Rangsang Aktiviti Ekopelancongan Johor

17/09/2024 09:21 PM

MERSING, 17 Sept (Bernama) -- Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi di Hutan Simpan Gunung Arong, di sini mampu merangsang aktiviti ekopelancongan sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Pejabat Daerah Mersing, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Global Environment Centre itu memfokuskan penyediaan data kepelbagaian biologi serta sumber hutan bagi perancangan pembangunan dan pemeliharaan khazanah semula jadi Johor.

Beliau berkata ekspedisi lima hari bermula hari ini melibatkan 132 peserta daripada pelbagai agensi, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO) merupakan antara langkah proaktif dalam meneroka khazanah yang terdapat di kawasan hutan simpan berkenaan. 

“Ekspedisi ini juga dapat membantu kita mengenal pasti spesies flora dan fauna yang belum pernah ditemukan dan penemuan baharu itu boleh dijadikan satu khazanah mahupun dibangunkan sebagai produk ekopelancongan,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelepasan peserta ekspedisi itu di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.

Ling berkata kerajaan negeri juga akan terus komited memulihara dan menguruskan biodiversiti secara mapan dalam usaha mengekalkan keseimbangan ekosistem. 

“Kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penanaman pokok, penanaman terumbu karang dan sedang mengkaji kawasan untuk kredit karbon bagi merealisasikan hasrat itu. 

“Baru-baru ini juga terdapat konflik antara manusia dan haiwan liar yang dilaporkan berlaku di daerah ini. Justeru, inilah masanya kita perlu menjalankan satu kajian menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan atau menetapkan apa-apa dasar pada masa akan datang,” katanya. 

Sebelum ini, tular menerusi media sosial berkaitan kehadiran beberapa gajah liar di Kampung Triang Besar dan dua lelaki mendakwa terserempak dengan harimau belang ketika memancing berhampiran ladang kelapa sawit Felda Nitar 2 di sini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan