AM > BERITA

Keenakan Kopi Kluang Tarik Penggemar Tegar

18/09/2024 06:48 PM

Oleh Anasathia Anak Jenis

KLUANG, 18 Sept (Bernama) -- Sama ada panas atau sejuk, kosong, dengan 'o', atau susu, kopi adalah minuman popular yang dinikmati dalam pelbagai cara. Bagi peminat kopi, secawan kopi sehari adalah suatu kemestian.

Daerah Kluang merupakan destinasi wajib bagi pencinta kopi, kerana ia menawarkan pelbagai pilihan kedai kopi. Di sini, bukan sahaja terdapat rangkaian kopi terkenal, tetapi juga kedai kopi tempatan dengan rasa yang tidak kurang hebatnya, bahkan mampu menyaingi jenama kopi popular.

Keenakan kopi Kluang telah menarik perhatian Ika Shakilah Syawal, 36, dan keluarganya yang menetap di Johor Bahru. Mereka sering mengunjungi daerah ini pada hujung minggu untuk aktiviti 'kopitiam-hunting', bagi mencuba kopi dari kedai yang berbeza.

"Saya dan suami adalah penggemar kopi tegar. Setelah beberapa kali berkunjung, kami telah menemui beberapa kedai kopi pilihan. Kami sependapat bahawa rasa kopi di sini sesuai dengan selera kami, dengan aroma yang kuat dan harga yang sangat berpatutan.

“Bukan ingin memuji berlebihan, tetapi air tangan pembuat kopi di sini tiada tandingan. Kami sering merindui kopi Kluang jika sudah lama tidak berkunjung. Itulah sebabnya kami sanggup menempuh perjalanan kira-kira dua jam untuk menikmati kopi di sini,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai kopi di Laman Kreatif Kluang di sini hari ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata bahawa kerjaya sebagai ejen insurans turut memberikan peluang untuk menghilangkan rindu terhadap kopi panas dan roti bakar yang disapu kaya dan mentega di daerah ini, apabila beliau mempunyai urusan dengan pelanggan dari Kluang atau daerah berhampiran.

“Jika harus memilih, setiap kedai kopi di sini mempunyai kelebihan tersendiri. Sesuai dengan perkembangan zaman, terdapat kedai-kedai baru dengan konsep hipster, namun saya tetap memilih cara penyediaan tradisional kerana ia terasa lebih sedap. Bagaimanapun, pilihan tersebut bergantung pada citarasa masing-masing,” kata anak jati Labuan itu.

Bagi pengurus kewangan Wong Min Hang, 55, pembacaan di media sosial serta 'iklan' dari mulut ke mulut oleh ahli keluarga dan rakan-rakan telah menyebabkan beliau memilih Kluang sebagai destinasi bercuti sempena cuti sekolah untuk merasai pengalaman minum kopi di daerah ini.

Beliau yang menetap di ibu negara tiba sejak Sabtu lepas, dan telah memilih beberapa kedai kopi berbeza untuk menikmati minuman popular tersebut. Selain itu, beliau juga berkunjung ke sebuah kilang kopi terkenal di sini untuk membeli kopi sebagai buah tangan dan kegunaan sendiri.

"Semua kopi di kedai yang sempat kami cuba tidak mengecewakan. Rasanya pekat dan tidak terlalu manis, dan ada juga yang berbeza daripada kopi yang pernah kami cuba sebelum ini," katanya yang berhasrat untuk kembali ke Kluang pada masa akan datang, memandangkan ada kedai yang tidak dapat dikunjungi kerana terlalu sesak akibat cuti sekolah.

Kedai kopi popular di sini, Tan Lee Seng Kopitiam, yang terletak di pusat bandar, tidak putus-putus menerima pelanggan sejak dibuka pada pukul 6.30 pagi. Pemiliknya, Linda Tan, 78, menjangkakan situasi ini akan berterusan selepas tamat cuti sekolah, memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sedang berlangsung.

Beliau yang lebih mesra disapa Auntie Linda berkata bahawa kedai tersebut masih mengekalkan konsep klasik, seperti ketika ia diusahakan oleh mendiang ibunya sekitar tahun 40-an. Antara tradisi yang dipertahankan termasuk roti yang dibakar menggunakan arang dan biji kopi yang dikisar sendiri.

Malah, harga secawan kopi di sini juga di bawah RM2 dan selain roti bakar, kedai ini turut menyediakan sarapan popular Malaysia seperti telur separuh masak, nasi lemak, dan kuih muih yang disediakan oleh pengusaha Melayu

PRK DUN Mahkota yang terletak dalam daerah Kluang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lepas, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 28 Sept ini manakala 24 Sept ialah hari undi awal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan