AM > BERITA

Mural "Keluang Man" Tarikan Baharu Orang Ramai Ke Kluang

18/09/2024 01:32 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

KLUANG, 18 Sept (Bernama) -- Lukisan mural gergasi watak animasi yang cukup popular sekitar 1990-an dan diangkat ke layar perak yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara tahun hadapan “Keluang Man”, kini menjadi tarikan baharu orang ramai yang berkunjung ke daerah ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Azurawati Wahid berkata mural Keluang Man setinggi bangunan tiga tingkat itu merupakan hasil lakaran kumpulan artis grafiti terkenal Abdulrashade, yang diketuai Abdul Rashid Abdul Rahman.

Beliau berkata mural yang terletak di Laman Pesona Kluang itu mula dipertontonkan kepada umum semasa perasmiannya bersempena pelancaran filem Keluang Man versi “live-action” pada 7 Sept lepas, yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kluang Mohd Rafi Abdullah.

“Kami di MPK yang mewakili seluruh penduduk daerah ini mengalu-alukan usaha untuk mempromosikan kesenian dan kebudayaan sekali gus menaikkan imej Kluang dan Johor.

“Mural tersebut juga satu pengiktirafan kepada daerah ini sekali gus berupaya menjadi tarikan pengunjung dengan menjadikannya sebagai destinasi pelancongan selain beberapa lagi lukisan mural lain yang ada di Laman Pesona Kluang,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata beliau menyahut pelawaan pihak penerbit filem tersebut kerana minat pada watak animasi berkenaan yang menjadi kegilaan kanak-kanak yang lahir pada 1980-an.

Beliau berkata selain Keluang Man, lukisan itu turut menampilkan watak utama lain seperti “Inspektor Sahab”, “Dr Malini”, “Shamsir”, “Ahmad” dan “Babe” yang merupakan kucing kesayangan Keluang Man.

Turut diabadikan dalam visual itu ialah tin minuman kopi khas edisi Kluang.

“Saya bersama tiga rakan yang lain mengambil masa 10 hari untuk menyiapkan lukisan ini dengan menggunakan cat dan semburan khas agar ia mampu bertahan lama.

“Selain lukisan watak utama filem Keluang Man, visual tin kopi khas edisi Kluang turut diabadikan kerana daerah ini cukup terkenal dengan minuman yang berasaskan kopi, sekali gus sebagai penghormatan kepada ‘budaya kopi Kluang’ serta rasa asli kopi tempatan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon filem Keluang Man, Shweta Sekhon yang memegang watak Dr Malini berkata beliau berharap watak Keluang Man dapat dipopularkan semula kerana ia merupakan adiwira ikonik Malaysia.

“Memang sesuai watak adiwira ini diabadikan melalui mural di Kluang ini kerana selain watak ini yang berasal dari sini (Johor), ia juga melambangkan kekuatan dan keberanian,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan