AM > BERITA

Mirzan, Mokhzani Sudah Isytihar Harta Kepada SPRM - Azam Baki

18/09/2024 04:50 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan dua anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Mirzan dan adiknya Tan Sri Mokhzani sudah mengisytiharkan aset masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan badan pencegahan rasuah itu.

“Mereka telah pun membuat perisytiharan harta kepada kami, namun pihak penyiasatan sedang membuat penyelarasan dengan peguam mereka.

“Jadi pada dasarnya mereka telah mengisytiharkan (aset), itu adalah perkara paling penting. Siasatan ke atas aset itu sudah mula mengenal pasti dan mengetahui lebih lanjut tentang perkara yang mereka isytiharkan kepada kami,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Azam berkata SPRM kini masih berhubung dan berkomunikasi dengan peguam Mirzan serta Mokhzani untuk mendapatkan maklumat tambahan serta penjelasan membabitkan pengisytiharan itu.

Pada 14 Ogos lepas, SPRM dilaporkan memberi tambahan sebulan lagi kepada Mirzan dan Mokhzani untuk mengisytiharkan aset masing-masing selepas diberi lanjutan sama pada Mei lepas.

Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM pada Januari lepas untuk mengisytiharkan aset mereka sejak 1981, tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora serta Kertas Panama.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata pihaknya masih belum dapat mengesan keberadaan ahli perniagaan Datuk Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Beliau masih tidak dapat dikesan untuk dibawa balik ke Malaysia,” katanya ringkas.

Sebelum ini media melaporkan SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Selain Muhammad Adlan, seorang lagi adalah peguam, Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan