AM > BERITA

Penumpang Kuala Kedah Datang Kuala Perlis Naik Feri Ke Langkawi

18/09/2024 08:53 PM

KUALA PERLIS, 18 Sept (Bernama) -- Penumpang feri ke Langkawi dari Kuala Kedah, Alor Setar yang dibatalkan perjalanan hari ini beralih ke Jeti Kuala Perlis untuk ke pulau pelancongan itu.

Shafinaz Ibrahim, 38, bersama suami dan anak-anaknya sepatutnya menaiki feri dari Kuala Kedah pada pukul 12.30 tengah hari tadi namun dibatalkan sehingga mereka sekeluarga terpaksa datang ke Kuala Perlis untuk menaiki feri bagi tiket pukul 4 petang hari ini.

"Saya bersyukur dapat pulang ke Langkawi setelah berada di kampung di Kedah melalui feri di Jeti Kuala Perlis ini...nasib baik tiket di Kuala Kedah boleh dapat bayaran balik dan kami beli semula tiket untuk naik feri di sini," katanya ketika ditemui Bernama di Jeti Kuala Perlis hari ini.

Lim Yi Mei, 30, pula berkata dia terpaksa ke Kuala Perlis untuk pulang ke Langkawi memandangkan perkhidmatan feri di jati itu meneruskan operasi seperti biasa mengikut jadual.

"Tiket saya di Kuala Kedah sepatutnya pukul 2 petang ini tetapi telah dibatalkan, saya tiada pilihan lain kena mai (datang) Jeti Kuala Perlis juga sebab saya kena balik rumah di Langkawi, saya punya feri pukul 4 petang dari Jeti Kuala Perlis," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd Kapten Dr Baharin Baharom berkata jadual perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi pada hari ini berjalan seperti biasa dengan perjalanan terakhir pada pukul 4 petang.

"Di Jeti Kuala Perlis perjalanan feri berjalan seperti biasa iaitu bermula pada 9.30 pagi, 9.35 pagi, 10.30 pagi, 12 tengah hari, 1.30 tengah hari, 2 petang, 3 petang dan berakhir pada pukul 4 petang," katanya.

Baharin berkata perjalanan ke Langkawi dari Kuala Perlis yang melibatkan sebuah feri sahaja pada pukul 4 petang hari ini penuh dengan penumpang seramai 651 orang.

Hari ini Bernama melaporkan lapan perjalanan feri laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan berikutan ombak besar.  

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan