AM > BERITA

Perbadanan Labuan Tiada Kena-mengena Dengan Pembatalan Octoberfest 2024

26/09/2024 10:43 PM

LABUAN, Sept 26 (Bernama) -- Perbadanan Labuan mengulangi komitmennya untuk memupuk persekitaran mesra perniagaan sekali gus menangkis dakwaan bahawa ia melaksanakan dasar sekatan yang tidak mesra pelaburan atau penganjuran acara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail mengulas isu itu bagi menyangkal laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa sebaliknya.

"Kami sentiasa menentukan dasar yang kondusif kepada komuniti perniagaan dan bakal pelabur. 

"Sejak Labuan menjadi Wilayah Persekutuan, matlamat kami adalah untuk menggalakkan aktiviti ekonomi termasuk acara yang dapat menarik pengunjung ke pulau ini dengan syarat mereka tidak menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berkata Perbadanan Labuan sentiasa menyokong perniagaan dan penganjur yang mempromosi acara yang mampu menarik kehadiran pengunjung selain merangsang ekonomi tempatan.

Penganjur Octoberfest 2024 Arthur Kong pula berkata pembatalan acara itu tidak ada kena-mengena dengan dasar kerajaan mahupun sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata pembatalan itu adalah kerana penganjur utama di Semenanjung Malaysia tidak mendapat penajaan daripada syarikat yang biasa selain tiada tajaan untuk Kumpulan Oom-Pah, yang selalunya membuat persembahan pada Octoberfest.       

"Tiada sekatan atau dasar tidak mesra perniagaan dikenakan kepada kami," katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan