AM > BERITA

Kemudahan Perjalanan Kukuhkan Hubungan Rakyat Malaysia-China - Pengerusi Bernama

27/09/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama-Xinhua) -- Sistem perjalanan moden dan lancar yang diperkenalkan, digabungkan dengan dasar menggalakkan seperti perjalanan tanpa visa bagi rakyat Malaysia ke China, telah memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara dengan memacu peningkatan pelancongan dan interaksi, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual selepas beberapa kali mengunjungi China, terutama pada 2024, bersempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Wong memuji kemudahan perjalanan ke China yang mengagumkan, sambil menekankan langkah-langkah pihak berkuasa China dalam mengalu-alukan kedatangan pelancong.

Beliau menjelaskan mengenai kemudahan yang disediakan di lapangan terbang di China, seperti pintu masuk automatik yang dilengkapi arahan dalam pelbagai bahasa dan sikap mesra pegawai tempatan.

Wong turut kagum dengan perkhidmatan di bahagian imigresen.

"Saya tidak fasih berbahasa Cina. Anda tidak perlu bercakap bahasa Cina, dan anda hanya perlu meletakkan pasport anda pada mesin.

“Sistem akan mengenal pasti anda berasal dari Malaysia. Suara dari mesin bahkan menyambut saya dengan ucapan 'Selamat Datang ke China' dalam Bahasa Melayu, " katanya.

Pengerusi Bernama itu juga memuji infrastruktur pengangkutan kereta api China, yang membolehkan perjalanan pantas dari Hangzhou ke Shanghai dengan menggunakan kereta api laju.

"Saya harap dunia dapat melihat lebih banyak kemajuan teknologi dalam pengangkutan yang dilaksanakan oleh China...

"Saya akan katakan bahawa perkara paling mengagumkan di China bagi saya adalah transformasi rangkaian kereta apinya. Rangkaian kereta api itu benar-benar menakjubkan. Saya fikir ia adalah yang paling luas di dunia dari segi kereta api berkelajuan tinggi," katanya.

Mengimbas ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, Wong menekankan pencapaian luar biasa yang dicapai setakat ini, tetapi mengakui peluang yang lebih besar menanti terutamanya dalam kerjasama ekonomi.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia dan rantau Asia Tenggara secara keseluruhan sedang mengalami transformasi pesat, sebahagiannya didorong oleh kejayaan ekonomi China.

"Walaupun Malaysia kecil, kami mempunyai pasaran kelas pertengahan yang besar. Ini bermakna terdapat kuasa beli yang baik.

“Jadi, adalah sangat bagus (pengeluar kereta China) Geely dan Proton bekerjasama di Malaysia. Ia bukan sahaja untuk memenuhi pasaran Malaysia tetapi sebagai hab untuk menghantar produk ke negara-negara lain.

“Saya sangat berharap Malaysia dan China dapat bekerjasama lebih rapat dalam bidang teknologi dan pengangkutan, kerana pada pendapat saya, ada banyak yang boleh dipelajari dari China dari segi kemajuan teknologi," katanya.

Bersempena Hari Kebangsaan China yang bakal tiba, Wong turut menyampaikan ucapan tahniah.

“Bagi pihak Bernama, saya mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kemakmuran kepada rakyat dan kerajaan China untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau juga berharap agar hubungan persahabatan antara rakyat Malaysia dan China akan terus diperkukuh dan berkembang pada masa hadapan.

--BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan