AM > BERITA

140 Kampung Di Sarawak Nikmati Bekalan Elektrik SARES Fasa 2

30/09/2024 09:22 PM

KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan 2,755 rumah kini menikmati bekalan elektrik yang stabil menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata projek berkenaan dilaksanakan bermula 22 Okt 2020 dan siap sepenuhnya pada 21 Jun tahun lepas. 

“Saya amat terharu mengetahui impian puluhan keluarga contohnya di Kapit untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik akhirnya menjadi kenyataan sekali gus mengakhiri penantian lebih 30 tahun untuk menikmati bekalan asas ini.

“Sistem jana kuasa solar ini dibina bagi menjana bekalan elektrik untuk kegunaan asas tertakluk kepada had maksimum sebanyak 2kWh (kilowatt jam) sehari bagi setiap rumah,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan Projek SARES Fasa 2 di sini hari ini. 

Beliau berkata pelaksanaan Projek SARES Fasa 2 adalah kesinambungan kepada Fasa 1 yang melibatkan 43 kampung (Fasa 1A) dan 17 kampung (Fasa 1B) dengan keseluruhan memanfaatkan 1,429 isi rumah.

Bermula pada 2016, projek SARES menyediakan sistem jana kuasa solar dan mikro hidro untuk membekalkan elektrik kepada kampung terpencil yang sukar disambung dengan talian grid.

Ia dilaksanakan di bawah Program BELB Bahagian Prasarana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kontraktor pelaksana iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) bertujuan meningkatkan keselesaan hidup dan taraf sosioekonomi masyarakat setempat

Pada majlis berkenaan, Rubiah menyerahkan projek itu kepada anak syarikat SEB, Syarikat SESCO Bhd menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Lau Kim Swee dengan disaksikan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Rubiah berkata SEB akan bertanggungjawab sebagai pihak berkuasa negeri dalam operasi dan senggaraan berterusan projek SARES.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan