AM > BERITA

Mangsa Serangan Gajah Kembali Sedar Selepas Dua Hari Ditidurkan

30/09/2024 10:11 PM

MERSING, 30 Sept (Bernama) -- Pekerja pembersihan kontrak yang cedera parah akibat diserang gajah di kawasan belukar di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenggaroh 5 di sini pada Khamis lepas, kembali sedar selepas dua hari ditidurkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing DSP Sharif Shai Sharif Mondoi berkata Zalini Dahlan, 51, yang dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dilaporkan stabil namun keadaannya masih lemah. 

“Saya dimaklumkan oleh isterinya bahawa Zalini telah sedar selepas ditidurkan (diintubasi) dan berada di bawah pemantauan doktor. Ini adalah maklumat yang kita peroleh setakat petang tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Zalini yang retak pada tulang pinggul dan satu tulang rusuk serta pendarahan dalam kepala ditidurkan dipercayai bagi memulihkan kembali tenaganya.

Zalini cedera parah manakala rakannya Mohamad Syafik Yakob, 31, meninggal dunia akibat diserang gajah ketika menghalau haiwan liar tersebut daripada mendekati kawasan sekolah berkenaan. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan