AM > BERITA

Selangor Komited Bangunkan Usahawan Digital

05/10/2024 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan melengkapkan usahawan kecil dan sederhana (PKS) dengan kemahiran digital yang relevan dan alat yang diperlukan untuk berkembang dalam era digital melalui Program Selangor 1000 Digital.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerusi kenyataan memaklumkan kerajaan Selangor komited membangunkan keusahawanan digital selepas menamatkan program siri kelima dan terakhir di sebuah hotel di Selayang pada 3 Okt lepas.

Menurut kenyataan itu, program diterajui Sidec, Menteri Besar Incorporated selaku penganjur bersama dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor serta AFFIN Bank sebagai penaja utama telah memberi impak besar kepada ekosistem perniagaan digital di negeri ini.

“Selepas lebih 2,200 peserta yang terlibat sepanjang lima siri, Selangor 1000 Digital 2024 berjaya mendigitalkan usahawan daripada pelbagai sektor dengan memperkenalkan teknologi terkini dan platform e-dagang seperti TikTok Shop, Shopline, Pos Malaysia, Fiuu, TnG eWallet, Bizapp, Maxis Business, Gofluence dan banyak lagi serta teknik penstriman langsung sebagai alat pemasaran moden,” menurut kenyataan itu.

Sidec memaklumkan penganjuran program itu juga berjaya menarik penyertaan yang memberangsangkan di setiap daerah melebihi sasaran awal yang ditetapkan.

Menurut Sidec, inisiatif berkenaan juga menyaksikan kerjasama erat dengan lebih 20 rakan strategik daripada ekosistem pendigital, dan Sidec sebagai peneraju pelaksanaan program berjaya merangka modul latihan yang komprehensif serta relevan untuk menyokong pertumbuhan usahawan Selangor dalam ekosistem digital.

Siri kelima itu mengekalkan format yang sama seperti siri-siri terdahulu iaitu fokus kepada bidang-bidang kritikal dalam keusahawanan digital antaranya memanfaatkan TikTok Shop untuk memperluas pasaran perniagaan dan pengurusan perniagaan secara digital bersama TnG eWallet.

Menerusi program itu, peserta juga disajikan dengan sesi “Inspirasi Usahawan Digital”, kisah kejayaan usahawan yang telah melalui proses pendigitalan akan dikongsikan untuk memberi motivasi kepada peserta lain.

Melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima, Sidec memaklumkan program Selangor 1000 Digital akan diteruskan pada 2025 dengan rancangan untuk diperluas ke daerah-daerah lain di negeri berkenaan. 

“Program ini akan terus menjadi platform utama dalam mempersiapkan usahawan Selangor dengan ilmu berkenaan pendigitalan yang membantu usahawan di Selangor menghadapi arus kemodenan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu. 

Sebagai penutup siri tahun ini, Selangor 1000 Digital telah membuktikan bahawa Selangor berada di landasan tepat untuk menjadi hab digital utama di Malaysia dengan sokongan penuh kerajaan Selangor dan semua rakan kongsi strategik.

Program Selangor 1,000 Digital bertujuan memperluas transformasi digital usahawan tempatan dengan menyediakan sumber, latihan dan sokongan penting kepada 500 usahawan e-dagang dan 500 hos penstriman langsung di seluruh Selangor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan