AM > BERITA

Sekretariat Tetap Akan Ditubuh Koordinasi Keperluan Tenaga Kerja Di KHTP - Ahmad Zahid

07/10/2024 04:05 PM

KULIM, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan menubuhkan sekretariat tetap bagi mengkoordinasikan keperluan tenaga kerja berkemahiran untuk memenuhi permintaan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu diputuskan Jemaah Menteri bagi menyelesaikan antara permasalahan yang dibangkitkan pelabur dari dalam dan luar negara di taman perindustrian itu.

“Permasalahan itu antaranya dalam soal memperoleh pekerja-pekerja mahir dan tenaga profesional. Apa yang telah kita putuskan dalam tempoh dua minggu dari sekarang, kita akan mengambil beberapa tindakan dan memutuskan beberapa perkara.

“Satu daripadanya kita menubuhkan sekretariat tetap bagi mengkoordinasikan keperluan guna tenaga yang berkemahiran untuk memenuhi permintaan pekerja-pekerja bagi setiap industri di KHTP,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke KHTP di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun setiap pemain industri di KHTP mempunyai keperluan tenaga kerja yang berbeza, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tertentu mampu menyediakan tenaga kerja bermahiran yang diperlukan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata bagi mengatasi masalah perpindahan tenaga kerja dari satu syarikat ke syarikat lain di KHTP, kerajaan mencadangkan agar perjanjian persefahaman diwujudkan antara semua pemain industri di KHTP.

Selain itu, permasalahan lain yang dibangkitkan pelabur di KHTP adalah kemudahan infrastruktur kesihatan yang terhad serta kesesakan lalu lintas di taman perindustrian itu khususnya pada waktu puncak.

“Selain itu, kita juga akan memperincikan tentang pusat latihan pascasiswazah dan ini penting kerana terdapat industri yang memerlukan tenaga profesional pascasiswazah. Kolaborasi dengan universiti berdekatan terutamanya yang berada di sekitar 30 kilometer radius dari (KHTP) akan dilakukan.

“Kita juga harus melakukan koordinasi dengan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia, kini terdapat enam universiti teknikal yang menjana beberapa kursus yang bersesuaian dengan kehendak pasaran industri dan ini kita akan lakukan,” katanya.

Mengulas mengenai tawaran gaji lebih tinggi yang menyebabkan siswazah dalam bidang kejuruteraan negara ini berhijrah ke negara jiran, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dibawa ke Kementerian Sumber Manusia untuk dbincangkan.

“Perkara ini bukan sahaja dihadapi di KHTP tetapi zon ekonomi khas di Johor, iaitu gaji minimumnya ialah S$1,500 sama dengan RM5,225. Jadi ini bukan masalah di sini saja dan kita akan bawa maklumat ke Kementerian Sumber Manusia,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Turut hadir pada program itu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Haim Hilman Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd Datuk Mohd Sahil Zabidi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan