AM > BERITA

Malaysia Teroka Peluang Kerjasama Bandar Pintar, Pelaburan Teknologi Dengan China - Dr Zaliha

07/10/2024 08:21 PM

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia akan meneroka peluang kerjasama bandar pintar dan pelaburan teknologi dengan China, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata peluang kerjasama itu akan dinyatakan pada lawatan kerja rasminya selama enam hari ke China bermula hari ini.

Dr Zaliha berkata beliau bersama-sama pasukan dari Jabatan Wilayah Persekutuan akan ke tiga bandar utama iaitu Hangzhou, Shanghai dan Shenzhen.

“Lawatan ke Hangzhou adalah rentetan daripada kerjasama melalui Letter of Intent (surat hasrat) antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Perbandaran Hangzhou yang telah ditandatangani pada April lalu terkait projek KL20. 

“Insya-Allah, saya dijadualkan bertemu mata dengan Mayor Yao Gaoyuan, Datuk Bandar Hangzhou dalam satu sesi makan tengah hari yang akan dihoskan oleh beliau untuk membincangkan ruang kerjasama tersebut dengan lebih mendalam,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Di Shanghai, Dr Zaliha berkata lawatan akan berfokus kepada potensi kerjasama bandar kembar antara Putrajaya dan Shanghai yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum ini. 

Delegasi yang turut melibatkan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadhlun Mak Ujud akan bertukar kepakaran berkaitan konsep bandar pintar memandangkan Shanghai berada di hadapan dalam aspek terbabit.

“Terakhir di Shenzhen, tumpuan kami lebih terfokus kepada kerjasama dengan pemain industri terkemuka dalam bidang teknologi seperti Huawei,” katanya.

Beliau berkata baru-baru ini, Huawei telah menyatakan hasrat untuk melabur di Labuan dalam teknologi bandar pintar. 

“Selain Huawei, kami juga akan berbincang dengan konglomerat teknologi yang lain seperti Tencent, BYD dan Baidu bagi mencipta ruang kolaborasi dengan mereka.

“Insya-Allah, doakan lawatan ini mudah-mudahan akan membuahkan hasil dan menarik lebih banyak syarikat yang berpotensi untuk melabur sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan