AM > BERITA

Motosikal Memotong Kenderaan Punca Tiga Maut Di Felda Sahabat

07/10/2024 10:23 PM

LAHAD DATU, 7 Okt (Bernama) -- Kemalangan mengorbankan tiga individu termasuk kanak-kanak di Jalan Felda Sahabat 6 Cenderawasih, Tungku, di sini semalam dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang seorang lelaki dikatakan memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang warganegara Indonesia berusia 55 tahun itu yang menuju ke arah Felda Sahabat, bertembung dengan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 62 tahun bersama tiga penumpang termasuk seorang kanak-kanak, yang dalam perjalanan ke arah Lahad Datu.

“Kejadian 6.05 petang itu, menyebabkan pemandu kereta hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun bersama lima penumpang lain, yang sedang menuju ke arah Felda Sahabat.

“Penunggang motosikal serta seorang penumpang wanita kereta sedan itu meninggal dunia di lokasi kejadian, pemandu dan dua penumpang kereta itu termasuk seorang kanak-kanak cedera parah dibawa ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan, namun kanak-kanak itu kemudiannya meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Dzulbaharin berkata pemandu dan lima penumpang pacuan empat roda itu pula, turut tidak mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tungku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta individu yang menyaksikan kejadian itu, untuk menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Insp Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 atau ke balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan