AM > BERITA

Pusat Kawalan Penyakit Negara Dijangka Siap Sepenuhnya 2026

08/10/2024 02:06 PM

KUALA LUMPUR 8 Okt (Bernama) -- Pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC) kini mencapai 45 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pusat kawalan penyakit yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan itu bakal meningkatkan kesiapsagaan Malaysia dalam menghadapi krisis kesihatan global. 

“Berdasarkan penemuan dan analisis semasa pandemik COVID-19, pusat (NCDC) ini akan menjadi Makmal Rujukan dan Diagnostik Khas yang akan memperkukuh negara dalam pengurusan wabak penyakit.

“Pembinaan NCDC ini juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam penghasilan vaksin sendiri sekali gus memberi kemudahan terbaik kepada saintis tempatan untuk melakukan kajian penyakit secara lebih mendalam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Jubli Perak ke-25 Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di sini hari ini. 

Beliau berkata NCDC yang dibina di kawasan seluas lapan hektar bermula Oktober 2021 itu akan dilengkapi dua blok utama iaitu pusat kawalan penyakit dan Makmal Rujukan Kesihatan Awam.

Sambutan Jubli Perak MKAK menandakan kejayaan 25 tahun penubuhan institusi itu dalam menjaga keselamatan awam, termasuk pencapaian tertinggi sebagai makmal pertama di Malaysia yang mengenal pasti virus COVID-19 dengan menggunakan mikroskop elektron dan virus cacar monyet atau mpox melalui kaedah PCR masa nyata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan