AM > BERITA

Banjir: Mangsa Di Kedah, Perlis Meningkat, Negeri Lain Berkurangan

08/10/2024 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis merekodkan peningkatan petang ini berbanding pagi tadi manakala di Johor, Perak, Selangor, Melaka dan Pahang berkurangan.

Di KEDAH, mangsa meningkat kepada 1,157 orang daripada 347 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 439 orang daripada 122 keluarga pagi tadi dengan Kota Setar dan Baling antara daerah terbaru dilanda banjir.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata di Kota Setar seramai 553 mangsa daripada 166 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman, SK Titi Gajah dan SK Haji Idris.

"Sementara itu di Baling, jumlah mangsa yang terlibat masih dalam bancian dan kesemua mereka ditempatkan di lima PPS iaitu SMK Parit Panjang, SK Penghulu Abu Bakar, Seri Bayu, Dewan Kampung Haji Abas dan Sekolah Maktab Mahmud," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di daerah Kubang Pasu, seramai 367 mangsa daripada 123 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu SMK Changlun, Dewan PPK Lubuk Batu, SK Malau, SMK Indera Putra dan SMK Mahawangsa, manakala di Pendang, 237 mangsa daripada 58 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.

Laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan sembilan sungai di seluruh Kedah melepasi paras bahaya termasuk Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu.

Di PERLIS, Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata tujuh orang daripada tiga keluarga yang terjejas banjir di Kangar ditempatkan di PPS SK Sena manakala seramai 112 orang daripada 35 keluarga di Arau ditempatkan di SK Kubang Gajah, setakat 4 petang ini.

“Antara kawasan terjejas dengan banjir itu ialah Kampung Bakau dan Kampung Tok Kandang di Kangar manakala Kampung Titi Besi bagi kawasan Arau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di JOHOR, dua PPS ditutup iaitu Dewan Terbuka Kampung Paya Palembang dan Balai Raya Parit Haji Hashim di daerah Kluang, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 502 orang setakat 4 petang ini, berbanding 601 orang 8 pagi tadi. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata 502 mangsa daripada 134 keluarga di tiga daerah terjejas banjir iaitu Kluang, Batu Pahat dan Pontian masih berada di enam PPS.

"Dua PPS yang beroperasi di Kluang ialah Dewan Kampung Kolam Air dan SK Sungai Linau, di Pontian pula di SK Seri Anom, SK Parit Markom dan Kompleks Muafakat Kampung Sungai Pinggan, manakala di Batu Pahat hanya satu PPS iaitu SK Seri Bunut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Di PERAK pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa banjir petang ini berkurangan kepada 215 orang daripada 60 keluarga manakala satu PPS ditutup iaitu di SK Matang, Matang dalam daerah Taiping, 2 petang tadi.

Menurut sekretariat itu, setakat ini kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan PPS SK Parit Haji Aman Bagan Serai di Kerian manakala mangsa di Hilir Perak berlindung di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kebanyakan daerah di Perak dijangka hujan pada sebelah malam ini melibatkan Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang.

Di SELANGOR, situasi banjir kian pulih apabila jumlah mangsa yang masih berlindung di PPS petang ini berkurangan daripada 173 mangsa daripada 36 keluarga kepada 152 orang membabitkan 30 keluarga.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiga PPS iaitu Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang, SK Ijok dan SK Bukit Badong masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir dari dua daerah iaitu Gombak dan Kuala Selangor.

Di MELAKA, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 22 orang daripada enam keluarga pada 4 petang ini dan kesemuanya ditempatkan di PPS SK Tehel, Jasin.

Sekretariat itu memaklumkan kesemua mereka merupakan penduduk dari Kampung Parit Lampong serta Kampung Tanjong Laboh selain cuaca di Melaka dilaporkan cerah petang ini dan tiada jalan utama ditutup.

Di PAHANG pula, seramai 31 individu daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Sungai Ruil, Cameron Highlands selepas berlaku tanah runtuh dan banjir kilat semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Cameron Highlands memaklumkan insiden itu berlaku pada 6 petang sebelum kesemua mangsa dipindahkan ke PPS sekitar 8.30 malam dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan