AM > BERITA

UOB POY 2024: Malam Seni, Pengiktirafan Dan Inspirasi Artis Tempatan

09/10/2024 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Majlis Anugerah 2024 UOB Painting of the Year (UOB POY) berlangsung pada Selasa bagi meraikan bakat kreatif artis tempatan, dari kategori pelukis baharu hingga mapan, yang berkongsi minat terhadap seni.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata majlis anugerah tahunan itu yang memasuki tahun ke-14 telah memupuk pertumbuhan dalam komuniti seni tempatan.

"Jumlah penyertaan luar biasa yang kami terima mencerminkan populariti serta minat semakin berkembang terhadap seni di Malaysia. Percayalah, jumlah penyertaan semakin meningkat dari tahun ke tahun dan ini satu kepuasan untuk mengetahui yang majlis anugerah ini telah memainkan peranan dalam perkembangan seni.

"Saya juga berbangga untuk berkongsi POY merupakan pertandingan seni yang menawarkan hadiah wang tunai paling lumayan di negara ini kerana kami menghargai bakat artis-artis kita," katanya dalam ucapan pada majlis itu semalam.

Ng berkata pemenang tahunan akan menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan peluang menyertai program residensi seni di luar negara yang ditaja oleh UOB.

Beliau berkata usaha UOB tidak hanya terhenti di POY sebaliknya terus menyokong pemenang mendapatkan pendedahan di peringkat tempatan dan antarabangsa serta memberikan mereka peluang mempamerkan karya di platform lebih luas.

"Sebagai contoh, awal tahun ini, kami mempamerkan karya pemenang lukisan terbaik 2016 UOB, Ding Nian Sam di Pusat Seni Hong Kong, antara acara penting dalam Minggu Seni Hong Kong.

"Baru-baru ini, kami juga menaja pemenang Anugerah Emas kategori Artis Baru tahun lepas, Ahmad Syakir Hashim bagi mengadakan pameran antarabangsa pertamanya di Ruang Seni UOB pada pameran Art Jakarta. Kami mahu POY menjadi platform yang terus mencungkil lebih banyak bakat tempatan dan membantu meningkatkan standard seni negara," katanya.

Ng berkata POY tahun ini juga memperkenalkan kategori baharu untuk pekerja UOB mempamerkan bakat terpendam.

Ketua hakim pertandingan yang juga penasihat seni, ahli akademik dan artis kontemporari Malaysia Bibi Chew berkata evolusi karya seni dihantar setiap tahun adalah menakjubkan kerana kualiti seni yang semakin meningkat.

"Elemen Malaysia dalam karya seni adalah yang kami cari kerana itulah menonjolkan nilai kita. Ia adalah sesuatu yang kami banggakan untuk diperlihatkan kepada negara lain," katanya kepada media selepas majlis malam tadi.

Sementara itu, pemenang UOB POY 2024 Hasanul Isyraf Idris, 46, gembira atas kejayaannya menerusi karya bertajuk 'Durio', sambil menyatakan pengiktirafan itu akan memberi inspirasi kepadanya untuk mencipta karya lebih baik pada pertandingan akan datang.

"Durio mempersembahkan gambaran menawan mengenai interaksi antara alam dan pemerhatian saya semasa menghabiskan empat tahun mendokumentasikan biodiversiti di sekitar studio percutian saya di Perak," kata pemenang RM100,000 tersebut mengenai karyanya.

Hug Yin Wan membawa pulang Anugerah Emas manakala Muhamad Amsyar Ramly dan Mairul Nisa Malek masing-masing membawa pulang Perak dan Gangsa, membabitkan wang tunai RM22,000 hingga RM45,000 bagi kategori Mapan.

Pemenang Anugerah Artis Harapan Tahun ini dalam kategori Artis Baharu, Nurul Shahida Ibrahim, 36, berkata karya seninya bertajuk ‘Baruh’ menggambarkan realiti kesukaran kehidupan yang tersembunyi di sebalik keindahan pemandangan desa dengan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.

"Proses menenun benang untuk mencipta coret yang tepat adalah mencabar, jika ada tidak kelihatan betul saya akan buang benang tersebut dan mula semula," kata ibu kepada tiga anak selepas membawa pulang RM16,000.

Anugerah lain dalam kategori Artis Baharu diberikan kepada Ahmad Muhamad Mohamed Kamal (Anugerah Emas), Lee Yaw Chu (Perak) dan Aer Loo Xin Theng (Gangsa) dengan hadiah wang tunai RM6,000 hingga RM11,000.

Karya seni bagi kategori Mapan dan Artis Baharu yang dipilih sebagai pemenang pertandingan UOB POY 2024 (Malaysia) akan dipamerkan di The Linc, pada 29 Okt hingga 4 Nov depan.

Penglibatan UOB dalam seni bermula pada 1970-an dengan koleksi lukisan oleh artis Singapura.

Hingga kini, Koleksi Seni UOB mempunyai lebih 2,600 karya seni terutamanya lukisan oleh artis Asia Tenggara yang mapan dan meningkat naik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan