AM > BERITA

Usaha Kesan Kebocoran Feri Ikonik Pulau Pinang Giat Dijalankan

09/10/2024 09:30 PM

GEORGE TOWN, 9 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja menyelamat dan mengenal pasti punca kebocoran sebuah feri ikonik Pulau Pinang yang dalam proses pengubahsuaian sedang giat dijalankan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin.

Beliau berkata usaha itu giat dijalankan oleh syarikat Printhero Merchandise Sdn. Bhd. (Printhero) dengan dibantu SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), dan setakat ini tiada tumpahan minyak dikesan serta pemantauan dijalankan pada setiap masa.

"Feri Pulau Pinang itu telah diberikan perjanjian pajakan kepada syarikat Printhero untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang dan ditunda keluar dari Bagan Dalam Slipway (BDS), Butterworth pada 3 Okt setelah menjalani kerja-kerja pembaikan serta pengubahsuaian.

"Feri ikonik itu ditempatkan sementara di SPCT sebelum ditunda ke lokasi akhir penempatan feri muzium berkenaan iaitu di Tanjong City Marina," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh berkata pada 6 Okt ketika berada di Dermaga South Inner SPCT feri itu dikesan mula senget dan tindakan segera diambil pihak syarikat Printhero untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati air mula memasuki ruang enjin.

Bagi mengelakkan feri itu karam di dermaga, pihak syarikat memutuskan untuk menunda feri berkenaan ke kawasan lebih cetek berhampiran kawasan gudang di SPCT.

Beliau berkata tindakan itu bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat di samping membolehkan  pemeriksaan secara menyeluruh dilaksanakan.

Terdahulu, Bernama melaporkan syarikat yang menjalankan projek Muzium Feri Pulau Pinang diminta memberikan laporan penuh selepas gambar feri yang dalam proses pengubahsuaian itu tular di media sosial hari ini.

Pada 2 Okt lepas, media melaporkan feri berkenaan ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke SPCT dan feri yang pada asalnya separa tenggelam di Bagan Dalam dekat sini pada 2021 itu sedang giat menjalani proses baik pulih untuk dijadikan muzium. 

Kerja-kerja baik pulih siap sekitar 60 hingga 70 peratus melibatkan kerja pembaikan utama dan ditunda ke SPCT untuk menyelesaikan proses selebihnya sebelum ditempatkan di Tanjung City Marina.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan