BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 AM > BERITA

Dijangka 500,000 Pekerjaan Berasaskan AI Dicipta Dalam Tempoh Enam Tahun

10/10/2024 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Sebanyak 500,000 pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang merangkumi pelbagai sektor di Malaysia dijangka diwujudkan dalam tempoh enam tahun akan datang.

Timbalan Presiden Persatuan Internet Pelbagai Benda (IoT) Malaysia Datuk P. Sri Ganes berkata peralihan dalam corak pekerjaan berasaskan AI itu memerlukan kemahiran serta latihan yang bersesuaian.

"Dalam konteks global, teknologi AI dijangka mengambil alih atau menggantikan 85 juta pekerjaan tetapi pada masa sama, ia bakal mengubah landskap pelbagai industri dengan mewujudkan 97 juta pekerjaan baharu.

"Justeru, pembangunan bakat tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian inovatif serta menjadi pemain utama dalam AI perlu menjadi keutamaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program pensijilan komprehensif AI pertama di negara ini yang dilancarkan Menteri Digital Gobind Singh Deo, baru-baru ini.

Sri Ganes berkata program pensijilan melibatkan kerjasama antara SG TVET Group Berhad dan United States Artificial Intelligence Institute (USAII) itu adalah usaha bagi memacu ketersediaan AI di Malaysia.

"Menerusi program ini, 10 syarikat terkemuka di negara ini turut menawarkan jaminan penempatan kerja kepada pelajar selepas tamat pengajian," katanya.

Beliau berkata pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi dalam pelaksanaan AI dimantapkan lagi melalui kerjasama itu.

"Inisiatif ini antara lain bertujuan memperkukuh ekonomi digital negara dengan memupuk kepakaran AI serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja selain menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap AI global,” katanya. 

Beliau berkata Program Pensijilan Kejuruteraan AI itu menawarkan pensijilan berganda yang dikeluarkan oleh USAII dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

"Dengan pensijilan berganda ini, pelajar akan menerima akreditasi di peringkat antarabangsa dan nasional, memandangkan kurikulum dibangunkan oleh Majlis AI Global USAII dan pakar akademik tempatan selaras Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang menjadi dokumen penilaian kompetensi pekerja mahir di Malaysia," jelasnya.

Sri Ganes berkata program AI seumpama itu akan menjadi penyumbang utama kepada matlamat Malaysia untuk menjadi hab AI global menjelang 2030 seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Nasional AI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan