BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 AM > BERITA

Malaysia Tidak Tutup Mata Krisis Ukraine, Tolak Keganasan - PM

11/10/2024 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia sama sekali tidak menutup mata terhadap krisis di Ukraine dan dengan tegas menolak sebarang tindakan keganasan serta pelanggaran integriti wilayah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata semua pihak perlu berusaha mencari penyelesaian melalui dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anwar, yang menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 di Laos, berkata beliau menggunakan platform itu untuk menegaskan komitmen Malaysia dan rakan negara ASEAN terhadap rantau yang aman, stabil serta bebas daripada konflik khususnya tercetus akibat pergeseran kuasa besar. 

“Tatkala ASEAN mengetuai usaha untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk tidak sekadar beretorik sebaliknya menyusuli dengan tindakan proaktif bagi menyokong peranan ASEAN dan memberikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan rakyat Myanmar.

“Saya juga mendesak semua pihak menggunakan instrumen dialog dan tindakan yang selaras dengan perundangan antarabangsa seperti UNCLOS 1982 (Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut) untuk menyelesaikan pertikaian,” katanya.

Perdana Menteri turut mengulangi desakan supaya masyarakat antarabangsa bersuara menuntut Israel agar menghentikan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi yang berterusan di Gaza.

Menyentuh mengenai Kepengerusian ASEAN 2025, beliau menyeru anggota EAS untuk menjulang kebersamaan dan melaksanakan Pelan Tindakan EAS 2024 hingga 2028.

Sidang kemuncak itu adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan yang bermula pada 9 Okt dan berakhir hari ini.

Pada majlis penutup, Laos selaku Pengerusi ASEAN ketika ini secara simbolik akan menyerahkan jawatan itu kepada Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan