AM > BERITA

Program Santuni MADANI Diharap Tingkat Pengetahuan Literasi Media Sosial

12/10/2024 06:34 PM

BANTING, 12 Okt (Bernama) -- Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Batu Laut di sini, diharap dapat meningkatkan pengetahuan literasi media sosial dalam kalangan penduduk kampung agar tidak mudah terjebak terhadap penipuan dalam talian khususnya pelaburan tidak wujud.

Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sagandi, 63, berkata beliau berharap penduduk kampung dan sekitar akan lebih mengetahui kaedah yang betul untuk menggunakan media sosial di samping mudah mengenal pasti sekiranya ada penipuan dalam urusan jual beli serta pelaburan dalam talian.

“Di kampung ini, ada berlaku beberapa kes penipuan pelaburan khususnya melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas, jadi kita harap pendedahan dalam penggunaan media sosial dapat diberikan kepada mereka.

“Begitu juga dari segi pendidikan kepada golongan muda, ada yang mungkin seawal tiga tahun sudah pandai menggunakan telefon pintar namun bila memasuki alam persekolahan, masih tidak boleh membaca.

“Jadi kita harap perkara ini akan diberi penekanan untuk kita membangunkan masyarakat sekitar,” katanya ketika ditemui selepas program Santuni MADANI Kampung Batu Laut dan Kampung Angkat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini. 

Program berkenaan dilancarkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu.  

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain.

Dalam pada itu, Ketua Komuniti Kaum India Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat M. Murali berkata pemilihan Kampung Batu Laut sebagai Kampung Angkat Bernama memberi nilai tambah kepada masyarakat luar bandar khususnya komuniti India dalam menyebarluaskan perkhidmatan agensi itu.

Beliau berkata terdapat kira-kira 6,000 penduduk India dengan tiga sekolah jenis kebangsaan Tamil di DUN Tanjung Sepat, dan sebagai wakil komuniti beliau berharap program kampung angkat berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat India.

“Tadi dalam ucapan, saya dengar Bernama akan merangka pelbagai program untuk orang sini, jadi saya harap komuniti juga turun padang membantu Bernama selepas ini,” katanya yang turut mencuba membaca berita di reruai Bernama TV.

Sementara itu, eksekutif operasi Izuwan Samson, 44, dari Klang berkata beliau pada asalnya membawa keluarga beriadah di Pantai Morib kira-kira 11 kilometer dari Kampung Batu Laut, namun faktor cuaca tidak mengizinkan menyebabkan mereka sekeluarga singgah di program berkenaan.

“Anak seronok main permainan… dapat hadiah, saya pun nak cuba jadi pembaca berita,” katanya yang juga antara pengikut media sosial Bernama. 

Puteri Nur Surihani Sufia Norazizan, 14, pula berkata antara tarikan ke program hari ini ialah melihat proses membaca berita televisyen dan radio di depan mata selain tertarik dengan hadiah yang ditawarkan.

“Bukan selalu kita boleh membaca berita menggunakan peralatan sebenar dan sudah semestinya saya teruja,” kata pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Laut itu.

Program Santuni MADANI adalah satu program khas diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu dilaksanakan oleh setiap ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Ia sebagai usaha meningkatkan potensi sesebuah kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan serta pemantauan berkala dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.  

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan