AM > BERITA

AFPM Hasrat Tambah Baik Penjagaan Kesihatan Premier Di Malaysia

12/10/2024 05:05 PM

PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM) berhasrat untuk memastikan setiap keluarga di Malaysia mempunyai akses kepada seorang doktor keluarga, kata Presidennya Dr Isriyanti Mohd Rafae.

Beliau berkata misi ‘satu keluarga, satu doktor keluarga’ berkenaan perlu bagi memperbaiki penjagaan kesihatan premier di Malaysia, sekali gus menjadikan negara ini lebih sihat dan berdaya saing.

Dr Isriyanti berkata doktor keluarga memainkan peranan penting dalam ekosistem penjagaan kesihatan negara kerana mereka merupakan pakar kesihatan yang berkemampuan menyelesaikan dan menyelaras penjagaan bagi pelbagai isu kesihatan rakyat.

“Doktor keluarga berada dalam kedudukan yang unik untuk memberikan penjagaan holistik yang merangkumi bukan sahaja aspek fizikal tetapi juga mental dan sosial.

“Pendekatan yang menyeluruh ini sangat penting dalam usaha menangani keperluan kesihatan yang dinamik,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Pentadbiran dan Pusat Latihan AFPM di sini hari ini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku penaung AFPM berkenan merasmikan pejabat pentadbiran dan pusat latihan akademi itu, yang siap dibina Jun lepas.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. 

Baginda berdua turut berkesempatan menyaksikan demonstrasi prosedur kesihatan di pusat latihan AFPM.

Dr Isriyanti berkata bangunan baharu berkenaan dimiliki secara bersama dengan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) dan berperanan sebagai hab kerjasama dan inovasi dalam penjagaan kesihatan multidisiplin.

Beliau berkata premis yang dibina di Presint 8 itu berfungsi sebagai pusat latihan akademik untuk menyokong pelbagai aktiviti perubatan, peperiksaan dan persidangan.

Sementara itu, Dr Isriyanti berkata setakat ini AFPM telah melahirkan 762 pakar perubatan keluarga manakala 277 doktor sedang menjalani latihan kepakaran fasa terakhir.

“AFPM komited dalam melahirkan lebih ramai doktor keluarga dan meneroka peluang untuk menambah baik penjagaan kesihatan premier di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan