AM > BERITA

Sultan Selangor Zahir Harapan Yayasan TZA, Yayasan Raja Muda Selangor Pertingkatkan Kerjasama

13/10/2024 01:01 AM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan untuk mempertingkatkan kerjasama antara Yayasan TZA dan Yayasan Raja Muda Selangor pada masa hadapan yang bukan sahaja tertumpu dalam bidang akademik.

Baginda bertitah kerjasama antara Yayasan TZA dan Yayasan Raja Muda Selangor bagi fasa kedua inisiatif ACE-SPM Yayasan TZA akan membantu usaha lebih baik dari segi bimbingan kepada belia, yang mewakili masa depan negara.

“Sesuatu yang menggembirakan apabila dapat menyaksikan dedikasi dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua yang hadir di sini melalui sokongan yang diberikan kepada yayasan ini.

“Tidak kira menerusi pendidikan, penjagaan kesihatan atau sokongan sosial, anda semua jelas menghayati prinsip Yayasan TZA bahawa setiap individu yang layak harus diberi peluang untuk berubah supaya mereka boleh diperkasakan untuk berkembang maju, tanpa mengira keadaan peribadi mereka,” titah baginda pada Majlis Makan Malam Penghargaan Yayasan TZA di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Sultan Sharafuddin bertitah adalah penting untuk memastikan bahawa keprihatinan yang ditunjukkan ini mampu memberi manfaat kepada golongan sasar. 

“Ini jugalah sebabnya beta sentiasa mengingatkan Paduka Anakanda Raja Muda Selangor agar setiap program di bawah Yayasan Raja Muda Selangor mahupun melalui Selangor Youth Community mesti jelas hasilnya.

“Beta yakin Yayasan TZA juga berpandukan prinsip yang sama,” titah baginda.  

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan