AM > BERITA

Kerajaan Johor Akan Bertindak Ke Atas Kilang Terlibat Kes Pencemaran

13/10/2024 03:32 PM

JOHOR BAHRU, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mengambil tindakan ke atas kilang yang menyebabkan pencemaran bau di sekitar bandar raya ini dan Kota Tinggi bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon bagaimanapun berkata sebarang tindakan hanya akan dilakukan selepas perbicaraan ke atas lima tertuduh selesai.

“Lima orang yang menjadi suspek kes ini telah didakwa dan mereka bagaimanapun tidak mengaku bersalah. Oleh itu kita perlu tunggu perbicaraan di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Green Accord Initiative Award Iskandar Malaysia 2023/2024 di Sutera Mall di sini hari ini.

Ling ditanya mengenai tindakan seperti kompaun, menutup atau menyita ke atas kilang yang menyebabkan pencemaran hingga menjejaskan alam sekitar dan kesihatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis akan terus memantau kilang-kilang yang menghasilkan sisa buangan terjadual bagi mengelak kejadian sama berulang.

Ling berkata sehingga kini sebanyak 150 kilang yang menghasilkan sisa buangan terjadual telah diperiksa sejak kejadian pencemaran bulan lepas.

Sebelum ini, media melaporkan lima lelaki termasuk seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada 26 Sept atas tuduhan melakukan sabotaj menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan air di Bandar Tenggara.

Kejadian berkenaan menyebabkan 38 penduduk Orang Asli dipindahkan ke kampung berhampiran setelah mendakwa mengalami sesak nafas dan pening kepala dipercayai akibat pencemaran di Sungai Liu.

Selain itu, penduduk di beberapa kawasan perumahan di Johor Bahru di Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin dan Kampung Melayu Pandan turut diancam pencemaran bau Sept lepas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan