AM > BERITA

MIGHT Kukuh Kerjasama Dengan HSE University Menerusi Pertukaran MoU

14/10/2024 12:46 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) menjalin kerjasama strategik dengan National Research University Higher School of Economics (HSE) Rusia menerusi permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

MIGHT dalam kenyataan memaklumkan MoU berkenaan bermatlamat menggalakkan kerjasama akademik, budaya dan institusi dengan menumpukan terhadap pembangunan sains, teknologi dan sosioekonomi, penggunaan statistik dan pengukuran dalam sains, teknologi dan inovasi (STI) serta penggubalan dasar STI.

“Perkongsian ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua institusi untuk memacu penyelidikan yang memberi impak dan penggubalan dasar dalam bidang-bidang kritikal ini," menurut kenyataan itu.

MIGHT diwakili Ketua Pegawai Operasinya Ida Semurni Abdullah Ali manakala HSE University diwakili Rektor Dr Nikita Asimov, pada majlis penandatanganan yang berlangsung di St Petersburg, Rusia.

Majlis disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Loon-Lai Cheong, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Ruziah Shafei serta Naib Canselor HSE University - St Petersburg Dr Anna Tyshetskaya.

Menurut kenyataan itu, MoU itu juga sekali gus mengukuhkan kerjasama dua hala dalam STI antara Malaysia dengan Rusia menerusi Jawatankuasa Kerjasama Pendidikan, Sains dan Teknologi (JCESTC).

Asas kerjasama itu telah dibentuk semasa simposium antarabangsa ‘Foresight & STI Policy’ pada 2023.

Inisiatif bersama pertama di bawah perkongsian terbabit akan menumpukan terhadap program pembinaan kapasiti yang menggunakan pada alat pandangan jauh, termasuk kajian Delphi, perancangan senario dan pemetaan jalan untuk badan kerajaan dan syarikat korporat.

Inisiatif berkenaan yang diketuai HSE University dan dikoordinasi oleh MIGHT dijadual bermula pada awal tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan