AM > BERITA

EAIC Tubuh Pasukan Petugas Khas Siasat Sindiket Visa Perubatan Warga Asing

15/10/2024 06:22 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu salah laku berhubung sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing daripada beberapa negara.

Dalam kenyataan hari ini EAIC memaklumkan pasukan petugas khas itu diketuai Datuk Seri Dr Razali Ab Malik yang merupakan salah seorang Pesuruhjaya EAIC, dan penubuhannya selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Berdasarkan siasatan awal yang dibentangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 9/2024 pada hari ini, mesyuarat tersebut telah memutuskan supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap aktiviti-aktiviti yang mencurigakan berkaitan sindiket tersebut berdasarkan dokumen-dokumen yang telah disita. 

“Tindakan ini diambil bagi memastikan perkhidmatan kemudahan visa perubatan kepada warga asing diluluskan dengan penuh integriti dan melindungi keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu EAIC menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara itu supaya menghubungi Pegawai Siasatan EAIC dengan menelefon 019-2325569.

Pada 8 Okt lepas, EAIC menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket visa perubatan yang melibatkan pegawai Jabatan Imigresen (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban mengesahkan EAIC telah hadir ke ibu pejabat JIM untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti membabitkan pegawai di jabatan tersebut.

Zakaria yang menyerahkan siasatan berkaitan perkara itu kepada EAIC berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti oleh anggotanya, selaras fokus utamanya untuk meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi JIM, agar kembali dihormati dan disegani.

Media sebelum ini melaporkan sindiket terbabit yang didakwa telah lama berleluasa memberi kelulusan visa perubatan kepada warga asing untuk masuk ke negara ini, kononnya atas tujuan mendapatkan khidmat perubatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan