AM > BERITA

Tanah Runtuh Taman Melawati: JMG, JKR Teliti Struktur Tanah, Nilai Tahap Keselamatan

15/10/2024 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti dan melakukan kajian di sekitar kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini bagi menentukan sama ada kawasan terbabit selamat atau sebaliknya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail juga berkata pihaknya telah mengenal pasti 11 keluarga yang mendiami 16 kediaman daripada 20 unit rumah di kawasan yang terkesan akibat kejadian itu.

"Manakala empat lagi unit kediaman didapati tidak berpenghuni," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua mangsa yang terkesan telah diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di AU 2 Keramat dekat sini.

"Mangsa akan ditempatkan di PPS sehingga kawasan kediaman ini disahkan benar-benar selamat dan apabila kerja pembersihan selesai, penduduk boleh membawa keluar kenderaan mereka ke kawasan selamat," katanya.

Selain itu, kerja pembersihan di kawasan terbabit sedang giat dilakukan Majlis Perbandaran Ampang Jaya serta Pejabat Tanah Gombak dan dijangka selesai dalam masa kira-kira satu jam.

Mohd Azam berkata pihaknya juga akan menempatkan pegawai dan anggotanya bagi mengawasi sekitar kawasan kediaman itu sepanjang proses pembersihan berlangsung.

Pada 10.30 pagi tadi, berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit susulan hujan lebat berterusan sejak 9 pagi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.

Antara agensi keselamatan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan dan penilaian kejadian tanah runtuh itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JKR dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan