AM > BERITA

Sultan Selangor Berkenan Terima Zakat Perniagaan PNB RM3.9 Juta

16/10/2024 01:33 PM

SHAH ALAM, 16 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM3.9 juta daripada Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB). 

Pembayaran zakat bagi tahun kewangan berakhir 2023 itu diserahkan oleh Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dalam satu majlis di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.

Mohd Sabirin ketika ditemui berkata kutipan zakat individu dan zakat perniagaan di Selangor menunjukkan peningkatan hasil usaha dakwah dilakukan LZS, bagi memastikan rukun Islam keempat itu dilaksanakan semua pihak yang berkemampuan. 

"Kutipan zakat bagi suku ketiga tahun ini telah meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lepas, begitu juga dengan zakat perniagaan iaitu kita juga melihat peningkatan bayaran daripada syarikat-syarikat baharu dan juga syarikat lama seperti PNB," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan. 

Beliau berkata peningkatan pembayaran zakat itu amat dialu-alukan bagi memastikan pemberian bantuan berterusan untuk golongan yang memerlukan di Selangor selain akan turut digunakan untuk aktiviti dakwah di negeri itu. 

LZS mencatatkan trend positif kutipan zakat apabila melebihi 60 peratus daripada sasaran ditetapkan setakat September lepas sekali gus optimis untuk mencapai sasaran RM1.2 bilion pada hujung Disember ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan