AM > BERITA

Kerjasama Erat Dalam TVET, Industri Halal Perkukuh Hubungan Malaysia-Filipina - Ahmad Zahid

16/10/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kerjasama erat dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri halal akan memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Filipina selain membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dalam pertemuannya dengan pasukan Technical Education and Skills Development Authority (TESDA) di Filipina hari ini, kedua-dua pihak optimis dengan usaha penerokaan potensi TVET dan industri halal di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka sependapat bahawa pendidikan TVET sangat penting untuk memastikan generasi muda serta tenaga kerja sedia ada dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.

“Selain melahirkan bakat baharu, TVET juga dapat membantu proses reskilling dan upskilling tenaga kerja, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Pertemuan ini membuka peluang Malaysia dan Filipina berkongsi amalan terbaik, memperkukuh piawaian kurikulum dan saling mengiktiraf kelayakan akademik. Melalui pertukaran kepakaran dan program latihan bersama, kita dapat meningkatkan kemahiran rakyat dan merebut peluang baharu di pasaran global,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata pertemuan itu antara lain turut membincangkan tentang industri halal yang memfokuskan kepada kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau yakin menerusi kerjasama dengan TESDA, Malaysia mampu membangunkan ekosistem halal global yang lebih kukuh di Filipina.

“Saya turut berbesar hati mengetahui bahawa eksport halal Malaysia ke Filipina meningkat sebanyak 7.4 peratus pada 2023. Filipina kini menjadi destinasi eksport halal Malaysia kelapan terbesar dunia dan keempat terbesar di ASEAN.

“Ini membuktikan hubungan perdagangan yang kukuh dan permintaan tinggi terhadap produk halal di rantau ini,” katanya.

Sementara itu menerusi satu kenyataan berasingan, Ahmad Zahid berkata Malaysia juga kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Filipina dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau menerusi bidang kewangan dan perbankan.

Beliau kata Malaysia melakar pencapaian penting menerusi pelancaran CIMB Kababayan di negara itu, iaitu satu inisiatif baharu oleh CIMB Bank Filipina dan ia sejajar dengan visi bersama untuk kemakmuran ASEAN.

Ahmad Zahid berkata perkara itu turut memperlihatkan peranan penting Malaysia, dalam membangunkan sektor perbankan digital dan menyokong usaha Filipina dalam memperkukuh keterangkuman kewangan, selain melambangkan komitmen dua negara dalam menyokong kesejahteraan rakyat.

“Inisiatif ini direka khas untuk memenuhi keperluan kewangan Pekerja Filipina di Luar Negara (OFW) dan keluarga mereka dengan menawarkan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, selamat, dan inovatif.

“CIMB Kababayan membolehkan OFW membuka akaun simpanan menggunakan nombor antarabangsa, memberi mereka lebih banyak pilihan dalam menguruskan kewangan. Inisiatif ini juga mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan Filipina,” katanya.

CIMB Bank Filipina sebagai bank digital pertama di negara ini, sedang mentransformasi perkhidmatan perbankan dan pengiktirafan sebagai Bank Nombor 1 di Filipina oleh Forbes pada 2023, serta 117 anugerah antarabangsa adalah bukti komitmen mereka terhadap inovasi.

Turut menyertai Ahmad Zahid pada hari terakhir lawatan rasmi tiga hari ke republik itu ialah Duta Besar Malaysia ke Filipina Dato Abdul Malik Melvin Castelino Anthony, Setiausaha Jabatan Pekerja Migran Hans Leo Cacdac, serta Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank PH Vijay Manoharan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan