AM > BERITA

Penggunaan Aplikasi Parkir Digital Dijangka Tingkatkan Pendapatan DBKK

16/10/2024 03:17 PM

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjangkakan peningkatan pendapatan di antara 20 hingga 25 peratus, melalui pengenalan aplikasi Sabah Smart Parking yang dilancarkan hari ini.

Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn Bhd Jimon Jahim berkata sebelum ini, DBKK meraih kutipan jualan kupon letak kereta jenis gores berjumlah kira-kira RM1.2 juta sebulan.

“Selain kita dapat jimat kos cetak kupon, aplikasi ini lebih efisien sebab pengguna tidak perlu ulang alik ke kereta untuk tambah bayaran tempoh masa letak kereta,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi berkenaan di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir yang turut dihadiri Datuk Bandar Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Beliau berkata aplikasi Sabah Smart Parking boleh digunakan di 27 kawasan kecuali Menggatal dan Telipok, yang merangkumi 12,000 tempat letak kereta di dalam dan luar pusat bandar raya itu.

Jimon berkata kupon letak kereta masih boleh digunakan sehingga suatu tempoh, namun orang ramai digalakkan untuk menggunakan aplikasi itu, bagi menyahut seruan kerajaan ke arah digitalisasi.

Beliau juga menggalakkan orang ramai yang mempunyai sebarang masalah berkaitan penggunaan aplikasi itu untuk datang ke mana-mana kaunter pertanyaan DBKK di 27 kawasan terlibat, bagi mendapatkan bantuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan