AM > BERITA

Tanah Runtuh: Tiada Lagi Pergerakan Tanah Dikesan Di Lokasi Runtuhan

16/10/2024 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Polis memaklumkan tiada lagi pergerakan tanah dikesan berlaku di lokasi insiden tanah runtuh di Jalan E6 Taman Melawati.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu disahkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Antara Agensi yang selesai petang ini.

“Jabatan Mineral & Geosains (JMG) telah membentangkan dapatan kajian dan siasatan yang telah dibuat pada hari ini dengan kerjasama Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR dan dalam dapatan tersebut, dimaklumkan bahawa tiada lagi pergerakan tanah dikesan.

“Selain itu JMG dan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR juga telah memberikan pandangan serta nasihat teknikal kepada agensi terlibat untuk urusan pembaikan cerun dilakukan bagi memastikan keselamatan umum terpelihara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata turut hadir dalam Mesyuarat Pelarasan Antara Agensi tersebut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Datuk Zamri Ramli, Pejabat Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Turut terlibat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Penerangan.

Beliau berkata selain itu pihak MPAJ sedang giat melaksanakan kerja-kerja laluan kepada mitigasi dan pembaikan cerun di Jalan G2 dan Jalan Serdang, Taman Melawati di sini.

Berikutan itu penduduk di Jalan E6 Taman Melawati yang terkesan dengan insiden ini belum lagi dapat dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing, sehingga kerja-kerja pembaikan cerun selesai. 

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini dan memberi ruang pada pihak berkuasa untuk melaksanakan kerja pembaikan.

Sementara itu tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja pemasangan kanvas berukuran 30x20 meter di tempat runtuhan sedang giat dilakukan selain kerja-kerja pembersihan sisa tanah runtuh oleh MPAJ.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan