AM > BERITA

Melaka Peruntuk RM4.64 Juta Baik Pulih Infrastruktur Rosak Akibat Banjir

16/10/2024 06:16 PM

ALOR GAJAH, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan Melaka memperuntukkan kira-kira RM4.64 juta bagi membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di Alor Gajah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pembaikan cerun runtuh di Jalan Rantau Panjang-Padang Kambing di Kampung Padang Besar, manakala RM800,000 bagi pembaikan dan pengukuhan cerun Jalan Rantau Panjang-Padang Kambing di Rantau Panjang.

Seterusnya beliau menyatakan ia juga melibatkan pembaikan dan pengukuhan cerun di Jalan Masjid Tanah-Brisu di Bukit Apit di sini yang membabitkan peruntukan berjumlah RM400,000.

“Ia memerlukan perhatian terperinci bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela dan langkah-langkah penambahbaikan kawasan terjejas akan diambil tindakan segera.

“Projek pembaikan ini akan mengambil masa selama kira-kira lima bulan dan akan bermula minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tiga lokasi cerun runtuh berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga meluluskan RM2.64 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur lain di daerah itu yang terjejas akibat banjir.

“Pelaksanaan kerja-kerja pembaikan ini melibatkan jabatan dan agensi seperti Pejabat Daerah Alor Gajah, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Majlis Perbandaran Alor Gajah,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata sebanyak RM393,000 disumbangkan kepada 1,310 ketua isi rumah di Alor Gajah yang terlibat dengan banjir pada Ogos lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan