AM > BERITA

MBSP Perkenal Sistem Pengurusan Bersepadu i-SWeeP, Pantau Perkhidmatan Pembersihan

16/10/2024 06:28 PM

BUKIT MERTAJAM, 16 Okt (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menggunakan sistem pengurusan bersepadu perbandaran bagi memudahkan pemantauan terhadap semua perkhidmatan berkaitan pembersihan. 

Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata sistem dikenali sebagai i-SWeeP itu diwujudkan bertujuan mengoptimumkan fungsi MBSP dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk, pihak berkepentingan dan pengunjung Seberang Perai menerusi penggunaan teknologi pintar dan analisis data.

“Sistem i-SWeeP merupakan aplikasi sehenti untuk semua fungsi utama Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP merangkumi 10 modul pengurusan yang lengkap iaitu pengurusan maklumat dan data, petugas, beratan sampah, tuntutan elaun perjalanan, bahagian operasi, kenderaan, syarikat kontraktor pembersihan, penguatkuasaan, fasiliti sisa pepejal dan pengurusan aduan.

“Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP mempunyai petugas yang ramai iaitu 2,091 orang, justeru melalui sistem ini memudahkan pemantauan dijalankan ke atas setiap perkhidmatan pembersihan,” katanya pada majlis pelancaran sistem itu di MBSP Bandar Perda di sini hari ini.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye.

Baderul Amin berkata sistem berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh MBSP dan diintegrasikan dengan sistem yang sedang diguna oleh MBSP seperti Sistem Kehadiran, Sistem Cuti, Sistem i-Kompaun, Sistem Timbang Tapak Pelupusan Pulau Burung (TPPB)dan Sistem Pemindahan Ampang Jajar (SPAJ) dan Sistem Selenggara Kenderaan (SISKEN).

Sementara itu, H’ng berkata sistem itu dapat membantu MBSP memantau semua kerja semasa yang dijalankan pihak kontraktor selain menyelesaikan aduan kebersihan dengan lebih cepat di samping menjimatkan tenaga dan masa dalam kalangan warga MBSP.

Beliau berkata dengan populasi yang semakin meningkat serta kawasan pentadbiran seluas 751 kilometer (km) persegi merangkumi tiga daerah, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bukan sahaja menguruskan petugas paling ramai di MBSP tetapi juga menguruskan kontraktor pembersihan. 

“Oleh itu, saya berharap sistem i-SWeeP ini akan dapat membantu pengurusan dan pemantauan kerja di peringkat MBSP dan menerusi modul berkaitan pengurusan syarikat kontraktor pembersihan ini, laporan kerja dapat dijana secara automatik dan teguran kepada kontraktor yang tidak mengikut spesifikasi dapat dibuat.

“Selain itu semua aduan berkaitan perkhidmatan perbandaran juga dapat diakses melalui modul pengurusan aduan i-SWeeP, jadi diharapkan aduan berkaitan kebersihan dan perkhidmatan perbandaran dapat dikurangkan selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan