AM > BERITA

Lebih 5,000 Pelajar Agama, Tahfiz Pantai Timur Terima Manfaat Program Rehlah Sains 2024

16/10/2024 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Lebih 5,000 pelajar sekolah agama dan tahfiz di Pantai Timur bakal meraih manfaat daripada Program Rehlah Sains 2024 anjuran Pusat Sains Negara (PSN) yang berlangsung hari ini hingga 30 Okt.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ruziah Shafei berkata program di bawah inisiatif SciTech4U itu bertujuan mendekatkan pelajar agama dan tahfiz di Kelantan, Terengganu dan Pahang kepada aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sekali gus menyemarakkan minat pelajar dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata sembilan sekolah agama dan tahfiz di Pantai Timur akan terlibat antaranya Sekolah Menengah Agama Falahiah Sungai Sok di Kuala Krai, Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin di Tumpat dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman di Terengganu.

“Pameran bergerak PSN Trooperz On the Move akan menjelajah selama 15 hari untuk membawa sains kepada pelajar di lokasi ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MOSTI hari ini. 

Beliau berkata PSN akan mengetengahkan pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif berkonsepkan Hands On, Minds On, Hearts On bagi memupuk minat terhadap bidang STEM serta melahirkan generasi berfikiran kreatif, berinovasi dan berdaya saing.

Sementara itu, Pengarah PSN Mohammad Fuad Rahman berkata program berkenaan turut memberikan pendekatan holistik yang menggabungkan elemen STEM dengan nilai-nilai agama menerusi bimbingan pakar STEM dan mentor agama.

“Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah Cabaran STEM, pertunjukan sains serta bengkel falak dan astronomi yang mengaitkan sains dengan Islam. Program ini turut memperkenalkan teknologi terkini seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI) kepada peserta,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, MOSTI dan PSN berharap program tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat sains dan teknologi serta menyokong agenda Malaysia MADANI dalam pengupayaan modal insan untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Program itu mendapat sokongan pelbagai agensi seperti Planetarium Negara, Jabatan Kimia, Jabatan Tenaga Atom dan Akademi Sains Malaysia selain kolaborasi dengan agensi tempatan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui platform media sosial PSN atau laman web rasmi www.psn.gov.my.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan