AM > BERITA

Abang Johari Lancar CyberSarawak

16/10/2024 08:09 PM

KUCHING, 16 Okt (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan inisiatif CyberSarawak semasa Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 di sini.

Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dalam kenyataan memaklumkan inisiatif dengan slogan ‘Kekal Selamat’, ‘Kekal Pintar’ dan ‘Kekal Terjamin’ adalah usaha menyeluruh yang bertujuan memperkukuh kedudukan keselamatan siber di Bumi Kenyalang bagi membina kepercayaan serta meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital.

SMA memaklumkan program ‘Kekal Selamat’ memberi tumpuan kepada langkah mewujudkan platform berpusat untuk orang awam melaporkan insiden keselamatan siber manakala program ‘Kekal Pintar’ menekankan kesedaran keselamatan siber khususnya dalam kalangan komuniti yang kurang diberi perhatian bagi memerangi ancaman siber yang semakin meningkat.

“Sementara itu, program ‘Kekal Terjamin’ didedikasikan untuk menilai dan menambah baik posisi keselamatan siber dari segi infrastruktur maklumat kritikal termasuk agensi kerajaan di Sarawak,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Pengurus Besar SMA Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng berkata Kerajaan Negeri Sarawak mengakui langkah keselamatan siber yang kukuh adalah penting bagi melindungi data sensitif, mengekalkan kepercayaan awam dan memastikan integriti infrastruktur digital.

“Pada 2023, selaras Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, unit keselamatan siber khusus telah ditubuhkan sebagai usaha melaksanakan inisiatif keselamatan siber di Sarawak,” katanya sambil menambah Unit Keselamatan Siber yang beroperasi di bawah SMA ditugaskan sepenuhnya untuk memperkukuh rangka kerja keselamatan siber negeri melalui sembilan fungsi utama.

Kenyataan itu juga memaklumkan mandat utamanya ialah menawarkan perkhidmatan keselamatan siber dan panduan kepada badan kerajaan, perniagaan serta rakyat.

“Perkembangan jenayah siber begitu pantas dengan unjuran kadar pertumbuhan sebanyak 15 peratus setahun, mencecah US$10.5 trilion setiap tahun menjelang 2025.

“Ancaman siber yang sifatnya meluas terutama kepada ekonomi, menonjolkan keperluan bagi langkah keselamatan siber yang kukuh merentasi semua sektor termasuk perusahaan awam dan swasta serta rakyat,” menurut SMA.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan