AM > BERITA

Sultan Kelantan Kurnia Sumbangan Kepada Keluarga Mangsa Serangan Harimau 

17/10/2024 05:23 PM

KUALA KRAI, 17 Okt (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga Adnan Ismail, 54, lelaki yang maut akibat dibaham harimau di Gerik, Perak, Selasa lepas.

Kurniaan itu disampaikan menerusi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang menziarahi kediaman keluarga mangsa di Kampung Ngangah, di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin turut menyampaikan sumbangan wang dan barangan keperluan asas daripada kerajaan negeri menerusi Tabung Serambi Mekah.

Isteri mangsa, Roslayti Sulaiman, 48, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Sultan Kelantan dan kerajaan negeri atas keprihatinan terhadap kejadian menimpa mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, sumbangan ini dapat mengurangkan beban ditanggung keluarga kerana saya ada tiga anak yang masih bersekolah," katanya kepada Bernama di rumahnya hari ini.

Jenazah Adnan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor, di sini pada 12.30 tengah malam tadi setelah proses bedah siasat selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Taiping, Perak.

Pada Selasa, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dilapor berkata seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibaham harimau berhampiran rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik.

Kejadian dipercayai berlaku antara 5 hingga 6 pagi semasa mangsa yang bekerja sebagai pengendali jentera berat hendak ke tandas rumah kongsi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan