AM > BERITA

MyContent Distribution Rangkul Dua Anugerah

18/10/2024 11:32 AM

KUCHING, 18 Okt (Bernama) -- MyContent Distribution Sdn Bhd memenangi dua anugerah pada majlis Anugerah Ekonomi Digital 2024 sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa (IDECS) 2024 di sini malam tadi.

Syarikat produksi tempatan itu menerima Anugerah Premier Sarawak dan Anugerah Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (MSME) yang disampaikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dalam kenyataan memaklumkan MyContent Distribution merupakan syarikat 100 peratus milik Sarawak yang ditubuhkan pada 2020 dan telah meletakkan dirinya sebagai perintis dalam industri hiburan Malaysia dengan menerima transformasi digital.

Menurut SMA, sebagai syarikat produksi yang bergiat aktif dalam bidang penerbitan dan pengedaran filem serta program televisyen (TV), MyContent Distribution telah mengedarkan lebih 100 filem tempatan di platform antarabangsa seperti Netflix, Amazon, Prime Video dan VIU. 

“Antara pencapaian hebat syarikat berkenaan termasuk pelancaran siri TV dialek Sarawak yang pertama, Tilit-tilit Cinta di Netflix dan filem Iban pertama The Headhunter di Amazon Prime.

"Filem Tegkang yang memenangi anugerah, iaitu penerbitan terbaru, menunjukkan komitmen MyContent Distribution untuk mamaparkan cerita Sarawak di peringkat global,” menurut kenyataan itu.

Selain MyContent Distribution, turut menerima pengiktirafan ialah Universiti Malaysia Sarawak yang meraih Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan manakala Evolving Brilliance Technologies Sdn Bhd menerima Anugerah Permulaan Teknologi.

Anugerah Kerajaan Digital dimenangi Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak manakala Jabatan Hutan Sarawak dinobatkan Anugerah Kelestarian.

IDECS 2024 merupakan acara anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), dengan sokongan Kerajaan Negeri Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan