AM > BERITA

Pindaan Jadual Kedua Selaras Tambahan Badan Pensijilan Halal Luar Negara - Armizan

18/10/2024 11:20 AM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah meminda Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 berhubung penambahan senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pindaan itu selaras dengan keputusan JAKIM yang menambah pengiktirafan lima badan pensijilan halal luar negara tahun ini, iaitu masing-masing satu dari Brazil, Mongolia dan Uruguay serta dua dari Rusia.

"Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM adalah sebanyak 88 pihak berautoriti merangkumi 49 negara di seluruh dunia.

"Pindaan Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 telah diwartakan pada 4 Okt 2024 dan mula berkuat kuasa 5 Okt," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan kes berkaitan halal bermula 1 Jan hingga 30 Sept lepas, beliau berkata sebanyak 53 kes telah dilaporkan dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1.81 juta. 

“Antara kesalahan dilakukan termasuk penggunaan logo halal palsu dan tidak menggunakan perakuan halal daripada pihak berkuasa berwibawa,” katanya. 

Armizan berkata KPDN berharap semua pihak dapat mematuhi perundangan sedang berkuat kuasa terutama berhubung isu halal, dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak berkaitan.

“KPDN juga berharap dengan pewartaan pindaan itu, ia dapat memperkasakan perundangan dan industri halal negara selain melindungi kepentingan pengguna beragama Islam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan