AM > BERITA

Program MADANI Rakyat 2024: Lima Zon Parkir, Bas Ulang-alik Pastikan Kelancaran Lalu Lintas

18/10/2024 11:23 AM

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam usaha melancarkan pergerakan lalu lintas dan keselamatan pada Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata lima zon parkir disediakan dengan zon A bagi orang penting atau kenamaan (VIP) manakala empat lagi iaitu zon parkir iaitu B, C, D dan E untuk pengunjung lain.

“Setiap (zon) parkir kita akan tempatkan anggota kita (polis) dan penggunjung boleh nampak papan tanda untuk ke kawasan tersebut. Anggota kita juga berada di sana untuk kawal lalu lintas dan keselamatan selain membantu orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain itu orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak meletakan kenderaan di bahu jalan di kerana ia boleh menghalang laluan kenderaan lain selain menyukarkan anggota polis untuk memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan terbabit.

“Letak kenderaan di bahu jalan boleh datangkan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya lain yang boleh cetuskan ketegangan, kita tidak mahu begini. Jadi datang awal dan letak kenderaan di kawasan parkir disediakan,” katanya.

Sebanyak 10 bas ulang-alik disediakan secara percuma di dua pickup point iaitu di Padang Merdeka serta Kompleks Sukan Likas untuk pengunjung yang hadir, dan akan beroperasi 8 pagi hingga 10 malam pada hari ini dan esok, manakala pada Ahad bermula 8 pagi hingga 6 petang.

“Saya menyeru orang ramai untuk memanfaatkan sepenuhnya pengangkutan awam berkenaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

“Bagi yang memandu, saya minta supaya mereka peka terhadap beberapa jalan akan ditutup secara sementara di kawasan terbabit antaranya di kawasan Teluk Likas dan Perumahan Kastam,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan sepanjang program berkenaan, sebanyak 219 anggota polis ditugaskan bagi menjalankan rondaan, pemeriksaan keselamatan dan tinjauan udara.

“Pada hari program hanya dron daripada Unit Udara (Polis Diraja Malaysia Malaysia) dibenarkan terbang. Kita mohon orang ramai supaya tidak menerbangkan dron pada hari tersebut bagi menjaga keselamatan pengunjung.

“Kita mohon pengunjung menjaga tatasusila. Patuhi undang-undang, jangan kacau ganggu ketenteraman awam, bawa senjata atau minuman tidak dibenarkan. Orang Sabah dikenali dengan sopan santunnya jangan kita tunjuk perkara tidak elok,” katanya.

Orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang https://malaysiamadani.gov.my/program-madani-rakyat/ untuk mendapatkan maklumat lanjut: 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan