AM > BERITA

Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang Putuskan GISBH Menyeleweng, Sesat

18/10/2024 03:47 PM

GEORGE TOWN, 18 Okt (Bernama) -- Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan ajaran, amalan, pegangan dan fahaman pemimpin serta ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaian syarikatnya adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. 

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata ini kerana kumpulan itu masih meneruskan pegangan dan amalan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd yang telah difatwakan sesat sebelum ini.

"Keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bersandar maklumat terperinci dan bukti sahih berkaitan GISBH di Pulau Pinang daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan polis negeri yang mendapati GISBH menyeleweng daripada sudut akidah.

"Antaranya mempercayai AsySyeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi  atau Syeikh Muhammad Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahdi dan pengasas Darul Arqam  Ashaari Muhammad atau Abuya dikatakan Pemuda Bani Tamim akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman," katanya. 

Mohamad berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Mufti Pulau Pinang Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman di sini hari ini.

Selain itu, Mohamad berkata jemaah GISBH masih meneruskan amalan Aurad Muhammadiah atau zikir agung versi Darul Arqam yang juga telah difatwakan sesat selain menyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat daripada air basuhan atau air rendaman anggota badan pemimpin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata dari sudut muamalah ekonomi pula, GISBH mengamalkan ekonomi yang mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita.

Fatwa hari ini, menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri keenam yang mengisytiharkan ajaran dan amalan GISBH sebagai sesat dan bercanggah dengan Islam, selepas Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah. 

Mohamad berkata Jawatankuasa Fatwa juga memutuskan orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal atau berpegang dengan fahaman atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya.

Ini termasuk diharamkan memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyalin, mencetak, menjual, mengedar atau menyiarkan apa-apa bahan berkaitan serta menganjur, menyokong, mengadakan atau membantu menjayakan apa- apa perayaan, sambutan keraian, majlis atau aktiviti.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa juga mengharamkan memberikan kemudahan, sumbangan, pembiayaan, bantuan atau sokongan kepada mana-mana orang atau pertubuhan, persatuan, syarikat, rumah amal, pusat jagaan atau badan lain untuk tujuan menyebarkan atau mengembangkan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan itu atau sebarang fahaman mempunyai persamaan dengannya.

Mohamad berkata keputusan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk diperkenankan dalam masa terdekat sebelum diwartakan.

Pada sidang media sama, beliau berkata empat premis yang dipercayai berkaitan dengan GISBH di Pulau Pinang juga ditutup sepenuhnya. 

Kerajaan negeri juga menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga dekat sini sebagai pusat pemulihan akidah jemaah GISBH secara sukarela yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik penginapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan