AM > BERITA

Malaysia Pamer Prestasi Baik, Tingkat Kedudukan Dalam CPI

18/10/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia mempamerkan prestasi yang baik dalam memerangi rasuah dengan peningkatan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, Malaysia menduduki tangga ke-57 pada 2023 daripada 180 negara, berbanding tangga ke-61 pada 2022.

Bagi mencapai sasaran Malaysia untuk menjadi antara 25 negara teratas dalam penarafan CPI, kerajaan memperkenalkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 sebagai kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.

“Pelan ini menyediakan rangka kerja terperinci dan trajektori bagi memerangi rasuah yang bertujuan memperkukuh integriti dan akauntabiliti negara.

“Usaha ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani impak rasuah dengan matlamat utama untuk menggalakkan keadilan dan ketelusan dalam tatakelola,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut memaklumkan Malaysia menduduki tempat ke-63 daripada 191 negara dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2023/2024 dengan skor 0.807.

Menurut laporan itu, pencapaian Malaysia dikategorikan sebagai ‘Pembangunan Insan Sangat Tinggi’ (HDI 0.800 dan ke atas) yang lazimnya menunjukkan standard tinggi dalam jangka hayat, pendidikan dan pendapatan.

“Walaupun Malaysia berada dalam kumpulan sama dengan negara menduduki tempat teratas seperti Jerman, Singapura, Australia, Republik Korea dan Jepun, namun negara tersebut memperoleh skor melebihi 0.920 yang secara umumnya mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang maju, kualiti hidup tinggi dan ekonomi berpendapatan tinggi.

“Justeru, negara tersebut menjadi penanda aras kepada Malaysia dalam usaha menambah baik indikator pembangunan insan sehingga mencapai kedudukan 25 teratas dalam HDI,” menurut laporan itu.

HDI, menilai dan membandingkan keseluruhan pembangunan dan kesejahteraan negara yang memberikan gambaran menyeluruh tentang pembangunan insan.

Indeks itu merangkumi dimensi utama seperti jangka hayat yang panjang dan kehidupan sihat, berpengetahuan dan mempunyai taraf hidup yang wajar.

Di bawah kerangka meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus, laporan itu memaklumkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus menjelang 2033, kini mencatatkan 56.2 peratus pada 2023.

Kadar penyertaan lebih rendah itu disebabkan oleh beberapa faktor seperti akses terhad terhadap penjagaan kanak-kanak, upah tidak menarik serta sokongan tidak mencukupi dalam menyeimbangkan antara kehidupan berkeluarga dengan pekerjaan.

“Bagi merapatkan jurang ini, langkah komprehensif perlu diperkukuh termasuk memperluas perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti tinggi dan berpatutan, menginstitusikan aturan kerja fleksibel dan menguatkuasakan dasar menggalakkan upah lebih baik.

“Selain itu, inisiatif untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam peluang pembangunan profesional kekal menjadi keutamaan,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan